Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

PAIRIN UNDUR DIRI SETELAH 33 TAHUN KETUAI PBS

Pairin (kanan) dijangka akan menyerahkan kepimpinan parti PBS kepada timbalannya yang setia, Dr Maximus Ongkili semasa kongress tahunan parti pada November nanti.Gambar SNT/Ehsan PBS

TAMBUNAN: Selepas 33 tahun mengemudi Parti Bersatu Sabah (PBS), Tan Sri Joseph Pairin Kitingan kini bersedia untuk berehat dan melepaskan tanggungjawab kepada kepimpinan parti yang baru.

Pertukaran itu bermula hari ini apabila beliau menyerahkan kepimpinan PBS Tambunan kepada naib presiden, Datuk Daniel Kinsik semasa mesyuarat agung tahunan bahagian tersebut.

Kemudian, Pairin dijangka akan menyerahkan kepimpinan PBS kepada pasukan baru yang diketuai oleh timbalan presiden, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili semasa kongres tahunan parti pada bulan November.

Pairin bersama barisan pimpinan PBS menyanyikan lagu rasmi parti semasa pembukaan mesyuarat agung tahunan PBS Tambunan hari ini. Gambar SNT/Ehsan PBS

“Mereka ini adalah pemimpin yang berkebolehan dan saya minta seluruh ahli PBS supaya berikanlah sokongan kepada kepimpinan baru ini dalam kita berusaha mendapatkan semula kegemilangan lalu kita.

“Masa hadapan PBS bergantung kepada kita semua sebagai ahli dan pemimpin-pemimpin akar umbi. Maju ke hadapan dan jangan ragu-ragu,” katanya.

Pairin berkata, perjuangan politik berbilang kaum PBS yang mulia, bersifat inklusif dan mampan akan terus relevan.

“Selama tiga dekad penubuhan PBS kita telah buktikan bahawa politik berteraskan perjuangan untuk berbagai kaum adalah kekal dan tidak punya tempoh hayat,” katanya.

Pairin berkata, sebagai seorang yang telah menubuhkan PBS, beliau menyeru kepada semua ahli PBS untuk meneruskan dan menghargai perjuangan mereka serta jangan menyerah kalah.

Pairin yang juga Huguan Siou berkata perkataan “Bersatu” dalam nama parti itu adalah perkataan yang agung sehinggakan sebuah parti di semenanjung turut menggunakannya sekarang.

“Sememangnya parti ini memberi perasaan sentimentel bagi saya. Kita telah melihat parti ini naik dan turun. Walaupun kita telah mengharungi begitu banyak cabaran, Parti Bersatu Sabah harus terus berjuang.

“Kita harus sentiasa mengingatkan kepada diri kita bahawa rakyat Malaysia dan Sabah memerlukan kita untuk mempertahankan hak serta keperluan asas mereka,” katanya.

Untuk itu, PBS harus membuat penjenamaan semula dan berteraskan akar umbi

“Oleh itu, turun padang, cari ahli baharu, latih pemimpin-pemimpin baharu dan berjuanglah untuk melawan ketidakadilan.

“Perpaduan amatlah penting terutama sesama kita dalam parti. Marilah kita terus mempertahankan perpaduan sudah sedia wujud antara kita ini,” kata Pairin.-SabahNewsToday

Komen


Berita Berkaitan