Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

12,499

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Pairin Puji RTM Martabat Bahasa Etnik Sabah

Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Joseph Pairin Kitingan

KOTA KINABALU, 17 Mei (Bernama) — Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Joseph Pairin Kitingan memuji usaha RTM Sabah memartabat bahasa etnik terutama dengan memberi galakan kepada penggiat seni memperkembangkan karya berkualiti di negeri ini.

Beliau berkata langkah RTM memperkenalkan Pertandingan Juara Carta Lagu Popular Kadazan mendorong para penyanyi dan karyawan Kadazan untuk mempertingkatkan usaha ke arah memajukan lagi industri muzik di negara ini.

Pairin yang juga ‘Huguan Siou’, pemimpin utama bagi masyarakat Kadazandusun Murut di Sabah, berkata pertandingan seumpama itu bertepatan dengan usaha kerajaan melahirkan masyarakat berbilang kaum yang berjiwa besar dan bersemangat tinggi dalam mempertahankan warisan budaya.

“Lagu-lagu ibunda bukan sahaja menghiburkan malah mampu menggalakkan pewujudan keluarga bahagia selain memupuk nilai murni serta budi bahasa yang luhur,” katanya.

Beliau berucap pada majlis perasmian Pertandingan Akhir Juara Carta Lagu Popular Kadazan musim ke-6 di Dewan Hongkod Koisaan KDCA, dekat sini malam ini.

Pairin berkata kerajaan negeri sentiasa memberi sokongan terhadap usaha murni RTM terutamanya dalam mewujudkan masyarakat yang berilmu dan bersatu padu.

“Selari dengan usaha ini, penekanan kepada aspek pendidikan rakyat juga perlu diberi fokus, iaitu sesuatu yang amat relevan dan bertepatan dengan situasi semasa.

Pertandingan akhir itu dimenangi penyanyi Kadazan Heidi Vanessa Maruning yang menerima hadiah wang tunai RM3,000, piala dan sijil.

Naib juara dimenangi Fanzi Ruji manakala Grace Ah Ting menduduki tempat ketiga.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan