Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,663

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Pairin Mungkin ‘Bercuti’ Daripada Parti

11:41am 16/11/2015 Pak Roshan 760 views Berita Pilihan,Mutakhir,Politik
Presiden Parti Bersatu Sabah, Tan Sri Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan .- fot Jimmy Tan / sayangsabah.

Presiden Parti Bersatu Sabah, Tan Sri Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan .- fot Jimmy Tan / sayangsabah

KOTA KINABALU : Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS). Tan Sri Joseph Pairin Kitingan mungkin bercuti daripada parti, justeru, memberi peluang kepada pemimpin lain untuk mengambil alih peranannya.

Tokoh politik berpengalaman berusia 75 tahun itu berkata beliau tidak menghadapi masalah untuk meletakkan kepercayaan kepada ahli-ahli Majlis Tertinggi PBS yang lain untuk menerajui parti semasa ketiadaan beliau.

“Saya mungkin mengambil cuti selama 12 bulan dan menyerahkan kepada orang-orang ini (anggota majlis tertinggi PBS yang lain) untuk melaksanakan kerja ini (memimpin parti)… tiada masalah,” kata beliau kepada pemberita selepas menutup Persidangan Perwakilan Tahunan PBS ke-30, di sini hari ini.

Pairin, yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, berpendapat bahawa ia adalah terlalu awal baginya untuk memutuskan bila beliau harus berundur sebagai presiden parti dan menambah “kita harus menggunakan kebijaksanaan apabila membuat keputusan.”

Terdahulu, beliau berkata PBS perlu bijak memilih calon dalam kalang ahli muda untuk bertanding pada pilihan raya umum akan datang sambil menjelaskan bahawa banyak faktor perlu dipertimbangkan dan bukan hanya faktor umur.

“Ia merupakan fakta. Ada ramai golongan muda dan ada anggota parti yang mencadangkan bahawa anggota-anggota muda, yang berkebolehan, hendaklah secara automatik diletakkan sebagai calon.

“Tetapi kita masih perlu melakukan proses penapisan dahulu bagi calon-calon berpotensi berdasarkan kriteria tertentu seperti bakat dan pengalaman melibatkan diri dengan masyarakat.

“Umur bukan menjadi faktor. Calon yang dikenal pasti itu mungkin seseorang yang masih diterima oleh masyarakat secara umum,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, yang juga Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, berkata parti itu akan terus menyokong Pairin sebagai presiden seperti dalam tempoh 30 tahun lepas.

“Kami pemimpin yang setia. Kami sentiasa menyokong presiden untuk memimpin parti dan kami akan terus berbuat demikian sehingga tiba masa untuk menyerahkan kepimpinan,” katanya.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan