Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Pairin Masih Tunggu Surat Pelantikan Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kerja PATI

pairin

KOTA KINABALU, 8 Jan (Bernama) — Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan masih menunggu surat pelantikannya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kerja untuk meneliti kandungan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di negeri ini.

Katanya surat pelantikan itu amat perlu bagi memudahkan beliau mengetahui tanggungjawab yang harus dilaksanakan selain mengenal pasti tujuan, perspektif, pendekatan dan harapan dalam merangka pelan tindakan menyelesaikan masalah PATI di Sabah sebelum dikemukakan kepada Jawatankuasa Tetap.

“Oleh itu, dalam kunjungan hormat pada hari ini, kita akan berbincang untuk mencapai satu penjelasan mengenai peranan dan tanggungjawab anggota jawatankuasa kerja supaya semua memahami dan bergerak lebih cepat, tidak terkeliru dan mewujudkan langkah juga cadangan ke arah menyelesaikan isu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menerima kunjungan hormat pegawai-pegawai Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini Khamis. Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) KDN Datuk Wahab Mohd Yasin dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Tan Sri Sukarti Wakiman.

Menurut Pairin, walaupun belum menerima surat pelantikan, namun, beliau bersama anggota jawatankuasa kerja lain yang bakal dilantik bersedia menerima dan menggalas tanggungjawab tersebut dalam memastikan isu yang sudah lama membelenggu Sabah ini dapat diselesaikan segera.

Pairin berkata jawatankuasa kerja yang dipengerusikan olehnya itu akan turut mengambil kira cadangan dan maklum balas daripada badan bukan kerajaan (NGO), agensi kerajaan dan swasta serta orang awam sebagai sebahagian daripada syor dalam menyediakan pelan tindakan, termasuk mempertimbang idea juga keanggotaan dalam kalangan pembangkang di negeri ini.

Beliau berkata cadangan dan maklum balas itu akan disalurkan menerusi urus setia khas yang akan diwujudkan oleh jawatankuasa kerja itu kelak, dan berharap pelan tindakan yang mantap dan matang dapat dihasilkan bagi membolehkan masalah PATI di negeri ini dapat diatasi secara drastik atau paling tidak diminimumkan.

“Kita (jawatankuasa kerja) ini mesti lebih praktikal dan fleksibel, dan kami akan sentiasa dipandu oleh agensi lain dalam konteks untuk kita mencapai objektif menyampaikan rekomendasi terbaik dalam menyelesaikan isu ini,” katanya.

Pairin berharap pemimpin dalam kalangan pembangkang supaya mengemukakan cadangan juga idea yang membina dan tidak hanya berani mengkritik atas keprihatinan kerajaan yang komited untuk menangani masalah PATI di negeri ini.

— BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan