Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,644

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Pairin lancarkan buku kisah perjuangan anak Sabah

KOTA KINABALU – Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan mengajak semua generasi muda Sabah supaya mempertingkatkan jati diri dan pemikiran bagi menghadapi masa depan yang semakin mencabar.

Menurut beliau, setiap anak Sabah perlu mempunyai jiwa besar, fikiran yang luas dan semangat juang yang tidak pernah padam untuk mencipta kejayaan dan kemajuan.

“Saya sangat berharap generasi baru di Sabah akan sentiasa mengamal nilai-nilai positif dalam kehidupan, jangan mudah melenting dengan provokasi dan jangan juga sengaja membiarkan diri mudah terpengaruh dengan pengaruh-pengaruh yang negatif,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis Jamuan Amal Kelab Bahasa Dusun Sidma College di sini kelmarin.

Beliau melahirkan keyakinan bahawa jika anak-anak Sabah mempunyai minda dan sikap sentiasa inginkan kemajuan, negeri Sabah akan mampu mengorak langkah lebih jauh dalam mencapai kemajuan.

“Semuanya terserah kepada diri kita sendiri, jangan kita mudah menunding jari pada pihak lain. Carilah dalam diri kita di mana yang sepatutnya kita buat pembaikan dan perubahan positif, pastikan wujud pilihan-pilihan yang bermanfaat untuk kita jadikan keputusan atau tindakan.

“Kita bukan hidup selamanya di dunia ini, maka sebelum kita pergi maka sewajarnya kita sentiasa berusaha mendidik anak-anak Sabah untuk menjadi lebih berjaya daripada generasi sebelum ini,” ujar beliau.

Tambah Pairin, hasil usaha generasi hari ini akan menjadi contoh kepada kepada generasi akan datang.

Katanya lagi, Sabah bertuah kerana bukan sahaja memiliki khazanah flora dan fauna yang banyak berbanding negeri lain selain mempunyai pelbagai etnik dan budaya yang begitu unik.

Beliau turut mengingatkan kepada generasi muda supaya tidak sekali-kali membenarkan pihak tertentu menyemai pemikiran negatif sekali gus boleh menyebabkan perpecahan dalam kalangan rakyat.

“Golongan ini sengaja suka melihat perpecahan. Cintakan kedamaian, cintakan perpaduan, inilah tanah Sabah yang penuh sejarah yang perlu kita jaga dan kekalkan.

“Jangan hanya kerana hal-hal tertentu maka sengaja diperbesarkan, carilah jalan penyelesaian yang matang dan bijaksana, moga kita akan terus menjadi contoh tauladan yang positif kepada anak-anak Sabah khususnya dan seluruh warga Malaysia secara amnya,” tambah beliau.

Beliau pada majlis itu turut melancarkan buku “Inspirasi Anak-Anak Sabah” yang antara lain mengandungi kisah perjuangan anak Sabah./SayangSabah

Pairin ketika melancarkan buku berkenaan sempena majlis tersebut.

Pairin ketika melancarkan buku berkenaan sempena majlis tersebut.

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan