Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Pahang Juara Piala FA

pialafa

SHAH ALAM – Kebangkitan menakjubkan yang ditunjukkan Pahang pada 10 minit terakhir permainan menghadiahkan kejuaraan Piala FA buat kali kedua buat Tok Gajah sejak 2006 dengan menewaskan Felda United 2-1 dalam perlawanan akhir di Stadium Shah Alam, semalam.

Ketika Felda kelihatan akan menamatkan perlawanan sebagai pemenang apabila selesa mendahului 1-0 hasil jaringan Edward Junior Wilson pada minit ke-23, segala-galanya berubah pada minit ke-80.

Mohd. Faizol Hussain yang dimasukkan menggantikan Azidan Sarudin pada minit ke-69 menukar segala cerita permainan apabila rembatan kaki kirinya dari luar kotak penalti menerjah jaring Felda, malah Farizal Harun sekadar terpaku memerhatikan bola.

Gol itu nyata menyalakan semangat api perjuangan pemain Tok Gajah dan jaringan yang dicari-cari hadir dua minit sebelum permainan memasuki masa kecederaan.

Melalui sepakan percuma diambil Mohd. Faizol, bola sekadar melantun mengenai kaki Farizal sebelum Dickson Nwakaeme menggamatkan kira-kira 50,000 penyokong Pahang yang hadir dengan meledak masuk gol kemenangan.

Kekalahan ini pasti sukar ditelan oleh anak-anak buah Irfan Bakti yang beraksi penuh berdisiplin sepanjang permainan, namun semangat juang dan pengalaman nyata berpihak kepada Tok Gajah.

Kejuaraan Piala FA ini juga memastikan Pahang menempah kejuaraan berganda pada musim ini selepas menjulang trofi Piala Sultan Ahmad Shah selain turut menempah tiket Piala AFC musim hadapan.

Selain membawa pulang kejuaraan, Mohd. Faizol turut diumumkan pemain terbaik perlawanan akhir.

Berdasarkan kesebelasan utama yang diturunkan kedua-dua pasukan, tiada sebarang kejutan dengan Pahang mempertaruhkan Nwakaeme mengepalai jentera serangan, manakala Farizal Harun sembuh sepenuhnya untuk mengemudi gawang Felda.

Beraksi tanpa sebarang tekanan, Felda menceriakan 20,000 penyokong mereka dengan gol pendahuluan pada minit ke-23.

Orang lama, Indra Putra Mahayuddin menjadi perancang utama di sebalik jaringan pertama The Fighters selepas lorongan bolanya berjaya mencelah pertahanan Tok Gajah pantas dihidu Edward.

Komen


Berita Berkaitan