Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Osman Jamal akan guna pengalaman 38 tahun sebagai penjawat awam bangunkan Balung

Calon Barisan Nasional N.55 Balung Datuk Osman Jamal ketika berucap dalam Program Bersama Rakyat di PPR Taman Sri Balung. Turut hadir Calon Parlimen P190 Tawau, Datuk Marry Yap Kain Ching.

 

TAWAU: Pengalaman selama 38 tahun sebagai penjawat awam akan digunakan oleh calon Barisan Nasional (BN) kerusi N.55 Balung, Datuk Osman Jamal untuk membangun kawasan itu jika diberi mandat.

Beliau berkata N.55 Balung berpotensi menjadi tumpuan pengunjung apabila dibangunkan sebagai bandar kedua di daerah ini ekoran terletaknya institusi pengajian tinggi dan lapangan terbang Tawau.

“Banyak yang ingin saya lakukan di kawasan ini jika saya diberi peluang untuk berkhidmat kerana Balung ini terletak di dalam jajaran Pan Borneo jadi peluang ini perlu dimanfaatkan untuk membangun sosio ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika perjumpaan santai bersama wakil-wakil media nasional dan tempatan di daerah ini, kelmarin.

Katanya, pembangunan sosio ekonomi sesuatu kawasan itu amat penting agar selari dengan pembangunan fizikal yang dirancang.

“Jika kawasan itu dibangunkan dengan perancangan tentu akan membuka banyak peluang ekonomi kepada masyarakat setempat sama ada peluang pekerjaan mahupun perniagaan,” katanya.

Beliau berkata usaha memperkasa golongan belia turut menjadi fokus dirinya di kawasan itu jika menjadi pilihan pengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kali ini.

“Saya mahu membantu generasi kedua peneroka felda di kawasan ini agar mampu memiliki rumah kerana BN memperkenal pelbagai inisiatif kepada golongan muda untuk memiliki rumah sendiri dengan harga mampu bayar,” katanya.

Osman sebelum ini pernah memegang beberapa jawatan penting di negeri ini termasuk sebagai Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur dengan jawatan terakhir sebagai Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen).

Beliau dalam pada itu berkata memerlukan media sebagai kawan untuk membantu usahanya dalam menyampaikan aspirasi dirinya yang ingin berkhidmat kepada pengundi di kawasan.

“Alhamdulillah setakat ini dalam tempoh berkempen saya dibantu jentera Umno di bahagian ini dan penerimaan masyarakat juha sangat positif kerana mereka ini memang setia dengan perjuangan BN selama ini,”katanya.

Osman adalah muka baru yang dipertaruhkan BN di kerusi itu yang sebelum ini disandang Datuk Syed Abas Syed Ali juga dari BN.- -NewSabahTimes/NAZRINI BADARUN

Komen


Berita Berkaitan