Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Organisasi Dalam Kerajaan Harus Contohi Pemuafakatan Pasukan Jerman – Najib

najib

PUTRAJAYA — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu organisasi dalam kerajaan mencontohi kejayaan pasukan bola sepak Jerman yang menjuarai Piala Dunia 2014 melalui konteks pemuafakatan.

“Pada pendapat saya, kejayaan pasukan Jerman boleh kita simpulkan sebagai kecemerlangan individu dan komitmen berpasukan yang luar biasa.

“Apabila kita dapat kumpulkan atau satukan prestasi individu dalam konteks pemuafakatan sebagai satu unit yang padu dan bekerjasama atas semangat pemuafakatan, maka pencapaian kita lebih besar daripada jumlah individu,” katanya pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2013 Perbendaharaan Malaysia di Kompleks Kementerian Kewangan di sini, Isnin.

Najib yang juga Menteri Kewangan menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada 76 penerima termasuk seorang penerima Anugerah Kecemerlangan Khas Jawatan Utama Sektor Awam (Jusa).

Turut hadir Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan dan Datuk Chua Tee Yong serta Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Awal pagi tadi, Najib menyertai 25,000 peminat bola sepak menonton perlawanan akhir Piala Dunia 2014 melalui skrin besar di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur yang menyaksikan Jerman mengungguli kejuaraan itu dengan menewaskan Argentina 1-0 melalui jaringan gol tunggal Mario Goetze pada minit ke-113.

Najib berkata sebagai contoh di peringkat organisasi, jika seseorang bekerja kuat sehingga luar biasa serta mempunyai budaya organisasi yang kukuh, pencapaiannya akan diterjemahkan pada tahap yang lebih baik.

“Oleh itu, kalau kita panjangkan pula ke peringkat sebuah kerajaan, maka kita bekerja bukan dalam lohong dan silo masing-masing.

“Kita bekerja dalam sebuah kerajaan merentasi sempadan, kita bukan bekerja dalam silo. Maka, pastinya prestasi pada keseluruhannya akan sampai ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Sementara itu, Najib juga berpuas hati dengan pencapaian prestasi ekonomi negara yang telah mencapai tahap yang membanggakan.

Beliau berkata pencapaian Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat kepada 6.2 peratus dalam tempoh pertama suku pertama tahun ini.

Selain itu, katanya laporan World Bank Doing Business 2014 menyatakan kedudukan Malaysia melonjak kepada tempat ke-6 daripada tempat ke-12 pada tahun lepas manakala IMD World Competitiveness Yearbook 2014 pula menunjukkan daya saing Malaysia turut meningkat kepada kedudukan ke-12 daripada ke-15 pada tahun lepas.

“Kalau kita nak sampai ke tahap tertinggi ini dalam semalamam, itu satu perkara yang mustahil tetapi kalau ada peningkatan, kita boleh katakan ia satu trajektori.

“Kita harap contoh-contoh seperti ini dapat memberi rangsangan untuk mencapai lebih banyak kejayaan pada masa akan datang,” katanya.

Komen


Berita Berkaitan