Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

ORANG RAMAI SAMBUT BAIK BULAN PENGAMPUNAN, KURANGKAN BEBAN BAYAR SAMAN TEMPAT LETAK KERETA

sambut baik bulan pengampunan

KOTA KINABALU:  Bulan Pengampunan bagi kesalahan tempat letak kereta yang dilaksanakan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) selama dua bulan bermula Selesa lepas mendapat sambutan baik daripada orang ramai.
Kebanyakan mereka yang ditemui New Sabah Times mengalu-alukan usaha DBKK itu kerana ia dapat membantu mengurangkan bebanan menjelaskan tunggakan kompaun.
Seorang pekerja swasta di bandaraya, Nursyuhada Roslan, 29, berkata langkah DBKK itu amat dialu-alukan kerana dapat mengurangkan bebanan penerima saman.
“Tetapi lebih bagus sekiranya diskaun itu lebih rendah dari saman asal sebab bukan semua orang mampu membayar kalau saman sudah terkumpul.
“Lagipun saya percaya, sebahagian daripada mereka yang menerima saman, bukan sengaja melakukan kesalahan tetapi kerana terpaksa terutamanya dalam kes-kes kecemasan.
“Apabila kita sudah lebih setengah jam mencari tempat letak kereta tetapi masih tidak dapat, kita terpaksa meletakkan kenderaan di tepi-tepi jalan, asalkan kita rasa ia tidak menghalang lalulintas,” katanya.
Pendapat Nursyuhada disokong Maria Samson, 35. Beliau berkata, tempoh pengampunan selama dua bulan amat baik untuk membolehkan orang ramai menjelaskan tunggakan kompaun kesalahan tempat letak kereta secara ansuran dalam tempoh itu.
“Bulan Pengampunan sangat bagus sebab dapat membantu meringankan bebanan orang ramai menjelaskan saman mereka terutamanya mereka yang mempunyai saman yang banyak seperti saya,” katanya.
Pekerja swasta itu berkata, dia mempunyai 13 keping kompaun kesalahan tempat letak kereta sejak tahun 2006 sehingga tahun ini.
“Saya berterima kasih kepada DBKK kerana begitu prihatin terhadap masalah yang dihadapi oleh pemandu atau pemilik kenderaan. Sepatutnya saya harus membayar RM2,210 tetapi dalam bulan pengampunan saya hanya membayar RM390.
“Walaupun masih banyak namun kita ada tempoh dua bulan untuk melangsaikan semua tunggakan itu,” katanya dan menambah semua kesalahan itu pada waktu bekerja.
Maria turut mencadangkan kepada DBKK supaya memperbanyakkan tempat letak kereta di kawasan bandaraya.
“Kita bukan sengaja melanggar peraturan dengan meletakkan kenderaan di kawasan yang bukan dikhaskan tetapi apabila keadaan memaksa terutamanya mengejar masa untuk masuk pejabat atau kes-kes kecemasan, kita terpaksa letakkan kereta di mana-mana asalkan ia tidak menghalang laluan kereta yang lain,” katanya.
Naib Presiden Persatuan Kebajikan dan Pendidikan Kadazandusun Sabah (Pekadin) Luis Lidong berkata, bulan pengampunan bagi kesalahan-kesalahan tempat letak kereta amat baik, bukan sahaja untuk memberi peluang kepada mereka yang telah dikenakan saman membayar dengan kadar yang rendah tetapi juga menyenangkan mereka membayarnya.
“Kita harap para pengguna jalan raya yang kena saman dapat mengambil peluang ini untuk membayar saman tertunggak,” katanya.
Beliau berkata pautan secara dalam talian yang disediakan oleh DBKK juga memudahkan orang ramai terutamanya mereka yang sudah berpindah kerja di luar bandaraya atau berpindah ke Semenanjung atau Sarawak menyemak saman mereka.
Maxine Mahat, 24, berkata langkah DBKK melancarkan program ini amat dialu-alukan.
“Ini dapat memudahkan saya membayar saman. Secara peribadi saya berpendapat mereka tidak sengaja melakukan kesalahan tetapi disebabkan masalah tempat letak kereta yang tidak mencukupi,” katanya.
Beliau yang hanya mempunyai satu saman tempat letak kereta berkata, dia sudah membayarnya di kaunter DBKK.
Biona Vilarie, 23, yang mempunyai tiga saman tempat letak kereta dan sudah membayarnya berkata, dia berterima kasih kepada DBKK kerana melaksanakan bulan pengampunan.
“Saya sepatutnya membayar sebanyak RM510 tetapi dalam bulan pengampunan saya hanya membayar RM90 sahaja,” katanya.
Bulan pengampunan akan diadakan selama dua bulan iaitu sehingga 3 Oktober ini, sempena sambutan Hari Kemerdekaan serta Hari Malaysia peringkat negeri Sabah.
Sebanyak lima kaunter akan dibuka sepanjang Bulan Pengampunan iaitu di Kaunter Utama Ibu Pejabat DBKK, Kaunter Damai, Kaunter Centre Point, Kaunter UTC Tingkat 6 dan Kaunter DBKK Holdings Tingkat 1 di KK Plaza.
Kaunter Utama DBKK dibuka dari Isnin hingga Jumaat ( jam 7.30 pagi hingga 4.30 petang), Kaunter Damai  dan Kaunter Centre Point dari jam 8 pagi hingga 3.30 petang (Isnin hingga Jumaat), Kaunter UTC dari jam 8 pagi hingga 9 malam (Isnin hingga Ahad) kecuali cuti am dan Kaunter DBKK Holdings dari jam 8 pagi hingga 5 petang (Isnin hingga Jumaat).

Komen


Berita Berkaitan