Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Orang ramai penuhi perkarangan kediaman bekas PM

ORANG ramai berkumpul di laluan masuk kediaman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Jalan Langgak Duta. – Foto Luqman Hakim Zubir

 

KUALA LUMPUR: Perkembangan siasatan kes membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terus mencuri perhatian orang ramai yang berminat untuk mengetahui perkembangannya dengan lebih dekat.

Mereka dilihat turut berada di kawasan berhampiran laluan masuk ke kediaman Najib di Jalan Langgak Duta yang turut dipenuhi dengan petugas media yang membuat liputan kes ini. 

Peniaga dari Kuala Perlis, yang ingin dikenali sebagai Ina, 40, berkata dia datang bersama keluarganya dari jauh untuk melihat dengan lebih dekat rumah bekas Presiden UMNO itu.

“Beberapa hari lalu saya hanya ikuti perkembangan Datuk Seri Najib menerusi Youtube dan media sosial.

“Memandangkan minggu ini saya ada urusan perniagaan di Lembah Klang, saya ambil keputusan untuk mencari sendiri rumah Datuk Seri Najib dan melihat dengan lebih dekat,” katanya kepada NSTP.

Pemandu dari Kajang, P. Balan, 45, pula datang bersama pakcik dan kakaknya untuk melihat kelibat Najib dan kediamannya.

“Saya bersama kakak dan pakcik saya datang dari Kajang, untuk melihat sendiri kediaman bekas Perdana Menteri.

“Tetapi kami sedikit hampa apabila hanya dapat melihat dari jauh selepas laluan masuk dikawal oleh polis,” katanya.

Pegawai Jualan yang ingin dikenali sebagai Chern, 42, berkata dia mengambil keputusan untuk datang melihat sendiri keadaan di kediaman bekas Perdana Menteri itu selepas beberapa rakannya berbuat demikian.

“Saya bersama teman dari Petaling Jaya, ingin melihat dengan lebih dekat kediaman bekas Perdana Menteri, sebab ramai kawan yang lain sudah pergi ke situ.

“Kami juga cuba untuk melihat Datuk Seri Najib, manalah tahu kalau ketika dia lalu menaiki kereta beliau berhenti dan buka tingkap kenderaan, inilah peluang untuk lihat beliau dengan lebih dekat,” katanya. – BH ONLINE

Komen


Berita Berkaitan