Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Ops SAGA V dilancar

judibola

KOTA KINABALU: Polis Kontinjen Sabah melaksanakan pemantauan berterusan di semua daerah di negeri ini bagi menangani kegiatan perjudian sepanjang kejohanan Piala Dunia 2014 nanti.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata, ia termasuklah melancarkan operasi khas dikenali sebagai Ops Saga V sebagai usaha membanteras kegiatan judi bersempena perlawanan-perlawanan bola sepak Piala Dunia 2014 yang berlangsung pada 13 Jun hingga 14 Julai depan.

“Operasi khas digelar sebagai Ops Saga V itu akan diketuai oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sabah Senior Asisten Komisioner Omar Mamah. Kita juga menyeru kepada orang ramai untuk sentiasa menyalurkan maklumat sekiranya terdapat kegiatan-kegiatan perjudian sempena Piala Dunia ini,” katanya ketika dihubungi kelmarin.

Hamza berkata semua daerah di negeri ini akan terlibat dalam operasi berkenaan dan sedia bertindak sekiranya menerima sebarang maklumat berhubung kegiatan perjudian.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam kenyataannya baru-baru ini berkata, pihak kementerian akan bekerjasama dengan Polis Antarabangsa (Interpol) dan Persekutuan Badan Induk Bola Sepak Dunia (FIFA) untuk memantau kegiatan perjudian ketika berlangsungnya Piala Dunia.

Kejohanan Piala Dunia akan dilangsungkan di Brazil pada hari ini (13 Jun).

Sementara itu di Kuala Lumpur, Polis Bukit Aman menubuhkan pasukan khas bagi memantau kegiatan perjudian bola sepak sepanjang perlawanan Bola Sepak Piala Dunia FIFA 2014 yang bakal membuka tirai perlawanan hari ini.

Ketua Penolong Pengarah Cawangan Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, SAC Roslee Chik berkata pasukan khas itu yang ditubuhkan tiga minggu lepas bukan sahaja memantau malah akan menahan sindiket yang terbabit dalam aktiviti haram itu sepanjang perlawanan bola sepak.

“Kami (polis) bersiap sedia untuk ‘perang’ secara besar-besaran bagi membanteras kegiatan haram itu.

“Pada 2010 sebanyak 143 individu berusia lingkungan 15 hingga 73 tahun ditahan di seluruh negara di bawah Akta Pertaruhan 1953. Kesemua mereka tidak dituduh di mahkamah kerana tiada bukti kukuh.

“Jenayah rentas sempadan ini melibatkan jaringan dengan laman web luar negara dan terdapat juga transaksi hasil pertaruhan disalurkan masuk dan keluar negara. ‘Server’ (pelayan) bagi laman web perjudian ini biasanya berada di luar negara seperti Filipina dan Kemboja,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata, pengendali pelayan menggunakan teknologi terkini dan canggih termasuk menggunakan sistem kawalan yang tinggi seperti nama pengguna dan kata laluan iaitu ia sering ditukar bagi menyukarkan pihak polis mendapatkan keterangan.

Roslee berkata pada 2010 jumlah nilai pertaruhan adalah RM437.9 juta membabitkan 143 individu berusia lingkungan 15 hingga 73 tahun ditahan di seluruh negara di bawah Akta Pertaruhan 1953.

Kesemua mereka tidak dituduh di mahkamah kerana tiada bukti kukuh.

Katanya tahun ini, individu yang ditahan atas kesalahan berjudi, juga akan disiasat mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) (Pindaan dan Pemerluasan) 2013.

Pindaan terhadap POCA 1959 yang diwartakan pada 1 April lepas, berkuat kuasa 2 April 2014 bagi memerangi jenayah dengan lebih berkesan.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan akan berlaku peningkatan dalam nilai pertaruhan kerana penggunaan telefon pintar memudahkan orang ramai melakukan aktiviti perjudian talian.

“Pada 2010, sindiket menggunakan komputer untuk menjalankan aktiviti ini, tetapi kini majoriti menggunakan telefon pintar. Maka kita yakin nilai pertaruhan akan meningkat kali ini,” katanya.

Komen


Berita Berkaitan