Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,647

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Ops Lahad Datu : Polis Hanya Ambil Gambar Barang Mudah Rosak Dirampas

6:05pm 24/11/2015 Pak Roshan 137 views Kota Kinabalu,Mutakhir,Tempatan

forensik

KOTA KINABALU : Mahkamah Tinggi di sini, hari ini diberitahu bahawa barang mudah rosak yang dirampas dalam ‘Ops Daulat’, operasi untuk menghapuskan kumpulan lelaki bersenjata Sulu yang menceroboh Lahad Datu, hanya dirakam gambarnya dan tidak disimpan.

Penjaga stor barang kes di ibu pejabat polis Lahad Datu, Sarjan Aiyaman Abd Mutalib berkata satu beg plastik berisi ikan goreng adalah antara barang kes yang diterima dan beliau membuat catatan mengenainya, tetapi tidak disimpan.

“Memandangkan ikan goreng merupakan barang yang boleh rosak, saya mengambil gambar ikan goreng itu sebelum melupuskannya. Kemudian, saya membuat laporan polis mengenai ikan goreng tersebut,” katanya.

Aiyaman memberi keterangan itu pada perbicaraan 30 individu yang dikaitkan dengan pencerobohan lelaki sulu bersenjata di Kampung Tanduo, Lahad Datu, pada Februari 2013.

Oleh kerana keadaan begitu kelam-kabut semasa Ops Daulat, saksi itu berkata beliau tidak membuat catatan tentang ikan goreng berkenaan di dalam Buku Daftar Barang Kes.

Selain barang yang dirampas di Lahad Datu, anggota polis itu berkata beliau juga menerima barang kes dari Kunak dan Beluran dalam operasi itu.

Menjawab soalan timbalan pendakwa raya Jamil Aripin, Aiyaman berkata beliau tidak tahu sebab barang kes itu di simpan di Lahad Datu.

Menurutnya beliau tidak terlibat dengan urusan pemindahan semua barang kes dari Lahad Datu ke Kota Kinabalu pada 2 Jan tahun lepas bagi tujuan perbicaraan kes itu.

Barang kes itu dipindahkan dengan menggunakan tiga kenderaan polis dan tugs itu diketuai Insp Mohd Faiz Che Mamat, dengan bantu beliau sendiri dan empat anggota polis lain, katanya.

Aiyaman memberitahu mahkamah bahawa sesetengah barang kes seperti pakaian mereka yang meninggal dunia, tulang manusia dan barang yang disenaraikan dalam laporan bedah siasat, tidak dibawa ke Kota Kinabalu.

Seramai 27 warga Filipina dan tiga penduduk tempatan menghadapi satu hingga pelbagai tuduhan menganggotai kumpulan pengganas dan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Mereka juga dituduh merekrut anggota untuk kumpulan pengganas atau secara sukarela melindungi individu yang mereka tahu adalah anggota kumpulan pengganas.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu antara 12 Feb dan 10 April 2013. Perbicaraan di hadapan hakim Stephen Chung di Jabatan Penjara Sabah bersambung esok.

— BERNAMA

 

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan