Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,727

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Operasi merobohkan rumah haram di Sembulan

2:28pm 04/08/2016 Leolerry Lajius 146 views Tempatan
Mohd.Bahrin Abd.Karim

Mohd.Bahrin Abd.Karim

KOTA KINABALU: Tindakan pihak Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) merobohkan rumah-rumah haram dan setinggan khususnya di  Sembulan adalah bagi memastikan persekitaran kawasan itu lebih bersih, indah dan selamat.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kota Kinabalu, Encik Mohd.Bahrin Abd.Karim berkata, banyak rumah-rumah haram dan setinggan tumbuh di kawasan itu seperti cendawan sehingga sukar dikawal terutamanya di kampung air Sembulan Tengah dan Sembulan Lama.

Malah katanya, kawasan Sembulan juga menghadapi masalah kebersihan dan sampah yang serius sehingga menyebabkan penyakit berjangkit berlaku seperti Denggi, kencing tikur, Malaria dan lain-lain.

Menurutnya, Isu sosial dan keselamatan terutama masalah penagihan dadah juga amat sinonim dengan  kawasan Sembulan. Bagi mengurangkan masalah-masalah tersebut, pihak DBKK telah mengambil tindakan perobohan rumah-rumah haram dan setinggan di kawasan tersebut.

“Tindakan perobohan rumah-rumah haram dan setinggan bukan melibatkan rumah-rumah yang memiliki geran atau lot rumah yang telah dibenarkan oleh kerajaan untuk tempoh sementara.

“Saya telah dimaklumkan oleh pihak DBKK bahawa perobohan itu melibatkan struktur-struktur haram yang sengaja didirikan oleh pemilik rumah atau pemilik lot tanah”, katanya.                                                    

Bahrin berkata demikian bagi mengulas operasi perobohan rumah-rumah haram dan setinggan oleh DBKK di beberapa kampung dalam kawasan bandaraya itu termasuk Kampung Sembulan.

Katanya, beliau juga dimaklumkan oleh pihak berkuasa bahawa  ramai pemilik lot tanah dan pemilik rumah sengaja mendirikan struktur haram dengan membuat “extension” bilik-bilik untuk disewa kepada orang-orang luar termasuk pendatang asing.

Bahrin yang mana nenek-moyangnya juga berasal dari Sembulan berkata, DBKK mempunyai kuasa khas untuk merobohkan rumah-rumah haram dan setinggan dalam kawasan perkadarannya.

“Justeru operasi yang dijalankan oleh DBKK bukan merobohkan rumah asal pemilik lot bergeran, sebaliknya merupakan “extention” struktur haram yang tidak dibenarkan oleh undang-undang kecil DBKK”, tegasnya.

Menurutnya, Sembulan merupakan “Heart of the City” dan keadaan  agak  tidak teratur terutama mengenai masalah-masalah berkaitan sampah, kebersihan, sosial, rumah haram, setinggan, dadah dan juga keselamatan.

Beliau berkata, dengan perobohan rumah-rumah haram dan setinggan itu akan mengurangkan masalah berkenaan, sekaligus membolehkan kerajaan merancang pembangunan yang lebih teratur dan tersusun di kawasan Sembulan.

Katanya, Sembulan Urban Renewal Scheme merupakan usaha jangka panjang kerajaan untuk mentransformasi Sembulan sebagai kawasan yang indah dengan kawasan perumahan yang teratur, cantik dan selamat.

Mengulas mengenai beberapa individu yang dikenakan denda melakukan kerja membersihkan kawasan rumah masing-masing oleh Mahkamah Sesyen atas kesalahan meletak/membuang/melonggok sampah di kawasan bawah bidang kuasa DBKK, Bahrin mengingatkan masyarakat Kota Kinabalu agar mengutamakan kebersihan dan tidak membuang sampah merata-rata dan sesuka hati.

“Kita perlu menjadi rakyat yang bertanggungjawab terhadap kebersihan persekitar kita. Menjaga keindahan dan kebersihan kawasan rumah dan juga luar serta kawasan awam. Ini penting untuk kebaikan bersama bagi mengelakkan merebaknya penyakit berjangkit akibat daripada masalah kebersihan dan longgokan sampah”, tambahnya.

Sehubungan itu, beliau mahu masyarakat faham  dan terima hakikat bahawa adalah menjadi satu kesalahan  yang boleh dikenakan denda dibawah Undang-Undang Kecil Anti Sampah Sarap Bandaraya Kota Kinabalu 2005 sekiranya meletak, membuang/melonggok sampah.

Mereka yang menghadapi tuduhan kesalahan meletak/membuang/melonggok sampah di kawasan bidang kuasa DBKK boleh didenda hingga RM10,000 dan dalam kes kesalahan berlanjutan boleh dikenakan denda RM500 setiap hari kesalahan itu dilakukan, jika sabit kesalahan./SayangSabah 

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan