Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,654

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Operasi Cari 4 Individu Hilang Di Perairan Kudat Diteruskan

2:28pm 08/05/2016 Pak Roshan 162 views Kota Kinabalu,Mutakhir,Tempatan

apmm-600x366

KUDAT – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) empat individu berserta bot yang hilang di kawasan perairan Pulau Balambangan pada Isnin lepas, sudah merangkumi kawasan seluas kira-kira 2,700 batu nautika persegi.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Sabah dan Labuan Laksamana Pertama Maritim Mohd Zubil Mat Som berkata tumpuan carian ialah di dua sektor iaitu di Timur Laut Pulau Mengalum dan barat Kudat.

“Operasi SAR hari ini melibatkan tiga pesawat iaitu helikopter Dauphin milik APMM, Beachcraft dari TUDM (Tentera Udara Diraja Malaysia) dan helikopter Super Lynx,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya keseluruhannya lapan aset digunakan dalam operasi SAR itu, termasuk kapal KD Jerong dan KD Sr Johor dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Cenderawasih 10 milik APMM manakala Pasukan Polis Marin menggerakkan aset RH 18 dan RH 49.

Mohd Zubil bagaimanapun berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan meluaskan kawasan carian, namun ia bergantung kepada situasi semasa.

Dalam insiden lewat petang Isnin lalu, empat individu dilaporkan hilang bersama bot yang dinaiki mereka ketika dalam perjalanan dari Pulau Balambangan ke Kudat.

Mereka ialah pasangan suami isteri dari Sepanyol, David Hernandes Gasulla dan Martha Miguel, kedua-duanya berusia 30 tahun, warga China yang juga pemilik resort di Tanjung Simpang Mengayau, Lam Wai Yin, 45, dan wanita tempatan yang juga pekerja resort, Armella Ali Hassan, 23.

Semua mangsa sepatutnya tiba di Tanjung Simpang Mengayau, di sini pada pukul 8 malam hari yang sama. – BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan