Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Operasi bersepadu besar-besaran di Sandakan

Antara rumah warga asing yang dirobohkan MPS kerana dibina secara haram di tanah milik kerajaan.
Antara rumah warga asing yang dirobohkan MPS kerana dibina secara haram di tanah milik kerajaan.

SANDAKAN – Operasi bersepadu besar-besaran yang dilancarkan di sekitar bandar ini pada awal pagi semalam menyaksikan seramai 315 warga asing ditahan kerana disyaki tidak memiliki dokumen pengenalan diri.

Bagaimanapun, selepas pemeriksaan terperinci dibuat oleh pihak berkuasa, seramai 130 daripada jumlah yang ditahan itu didapati pendatang tanpa izin (PATI) dan seterusnya dibawa ke Pusat Tahanan Sementara (PTS) Sandakan untuk tindakan pengusiran oleh Jabatan Imigresen manakala tiga lagi ditahan reman polis kerana kesalahan berkaitan dadah.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Sukarti Wakiman berkata, operasi membanteras pendatang tanpa izin itu merupakan tindakan susulan selepas mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Negeri (JKKN) baru-baru ini yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman.

“Kerajaan memandang serius masalah kebanjiran PATI dan operasi ini merupakan permulaan kepada pelbagai langkah drastik yang kita akan ambil untuk menangani masalah PATI di negeri ini,” katanya di sini hari ini.

Operasi bersepadu yang diketuai oleh Esscom itu melibatkan 603 anggota dan pegawai dari pelbagai agensi penguatkuasaan negeri dan Persekutuan.

Sementara itu, operasi berkenaan turut menyaksikan lebih 32 buah rumah yang didiami oleh pendatang tanpa izin, dirobohkan oleh Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) manakala lebih 1,000 rumah lain diberi notis arahan perobohan kerana mendirikan rumah secara haram di tanah milik kerajaan.

“Operasi bersepadu besar-besaran ini bukan hanya akan dilakukan di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) tetapi juga di kawasan lain di seluruh negeri ini,” tegas Sukarti. – oleh Monica Gidong / SayangSabah.

Komen


Berita Berkaitan