Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

OP MEGA 3.0: 3,309 PTI DAN 44 MAJIKAN DITANGKAP SETAKAT INI DI SABAH

Penguatkuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dibantu oleh Pasukan Taktikal Khas JIM Sabah membawa PTI yang ditahan untuk proses dokumentasi ketika serbuan Ops Mega dijalankan di Kampung Gentisan, Sepanggar. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Hujan lebat tidak menghalang Op Mega 3.0 yang dijalankan oleh Jabatan Imigresen bagi membanteras pendatang tanpa izin (PTI) di Tanjung Aru dan Sepanggar yang bermula dari 12 tengah malam hingga 4 pagi tadi.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Azis Jamman dan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali juga turun padang menyertai operasi selama empat jam itu.

Dalam pada itu, seramai 640 warga asing diperiksa dan 59 orang telah ditangkap atas kesalahan tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

Dalam sidang media selepas operasi itu, Aziz berkata, isu berkaitan PTI termasuk di Sabah adalah masalah yang serius dan usaha membanteras kehadiran mereka di negara ini akan dilakukan secara berterusan oleh pihak berkuasa terutama imigresen.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Azis Jamman (dua dari kanan) bersama Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Mustafar Ali (tiga dari kanan) memeriksa dokumen warga asing semasa operasi di Kampung Gentisan, Sepanggar. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Operasi ini dilakukan di seluruh negara dan malam ini kita menjalankan Op Mega 3.0 bermula di Sepanggar dan berakhir di Tanjung Aru. Ini adalah operasi kedua yang kita jalankan selepas di Tawau dan Semporna baru-baru ini.

“Kita akan terus memburu PTI di Sabah. Oleh sebab itu saya telah nyatakan, di kawasan saya sendiri tidak terkecuali daripada pemeriksaan PTI. Jika mereka masuk ke negara kita melalui cara secara tidak sah, kita akan tangkap dan usir mereka,” katanya.

Dalam operasi pertama di Kampung Baru Tanjung Aru Fasa 1, seramai 277 orang diperiksa dan 28 orang telah ditahan, sementara operasi kedua di kawasan setinggan di Kampung Gentisan, Sepanggar melibatkan pemeriksaan ke atas 363 orang dan 30 yang ditahan dalam operasi tersebut.

Penguatkuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menjalankan pemeriksaan dalam sebuah rumah ketika Ops Mega dijalankan di Kampung Gentisan, Sepanggar. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Di Sabah, sebanyak 1,010 operasi telah dijalankan sejak awal tahun ini dengan jumlah tangkapan PTI seramai 3,309 melibatkan 44 majikan.

Dalam pada itu, Aziz menegaskan, walaupun menyedari usaha menghapuskan setinggan mengambil masa, pentadbiran kerajaan negeri yang diketuai Parti Warisan Sabah (Warisan) akan berusaha meminimakan bilangan setinggan sebagai langkah menangani isu PTI di Sabah.

Sementara itu, Mustafar berkata, sejak Op Mega 3.0 yang dimulakan tahun ini, sebanyak 10,000 operasi telah dijalankan sehingga tengah malam tadi dengan kira-kira 30,000 PTI dan 1,000 majikan seluruh negara telah ditangkap.

“Sejak daripada Program 3+1 atau pun serah diri secara sukarela itu telah tutup pada 30 Jun lalu, pihaknya telah melakukan ratusan operasi di seluruh negara. Kita telah memberikan mereka peluang tetapi mereka gagal memanfaatkannya.

“Ini bukan sahaja soal keselamatan dan kedaulatan itu, tetapi kerana kita bimbang apabila PTI yg tidak diperiksa tahap kesihatan mereka, penularan penyakit akan berleluasa.

“Kenapa proses Agensi Pemantauan dan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (Fomema) perlu dilakukan kerana kita hendak pastikan pekerja mempunyai tahap kesihatan yang baik. Kita tidak boleh mengambil pekerja yang ada penyakit menular, misalnya Tibi sebagai pembantu rumah,” ujarnya. – SabahNewsToday

Komen


Berita Berkaitan