Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Ombak besar landa pantai Labuan

Gambar Hiasan
Gambar Hiasan

LABUAN – Ombak besar membadai pantai Labuan malam tadi dan menimbulkan suasana cemas dalam kalangan penduduk, nelayan serta pengusaha pengangkutan laut.

Beberapa nelayan tempatan dan tekong bot dilaporkan tidak dapat berkomunikasi antara satu sama lain berikutan keadaan laut yang bergelora teruk.

“Saya belum pernah melihat ombak sebesar ini,” kata Rahim Yussof, 45, yang bertugas dengan sebuah syarikat minyak dan gas kepada Bernama pada Jumaat.

Beliau merujuk kepada ombak setinggi dua dan empat meter yang membadai struktur jeti berhampiran Pelabuhan Labuan.

“Ombak begitu tinggi, manakala angin pula sungguh kencang hingga menimbulkan suasana ngeri dan menakutkan,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi dalam satu kenyataan hari ini berkata, angin kencang dan laut bergelora kategori kedua di perairan Pahang, Johor Timur, Sarawak, Sabah (Pedalaman, Pantai Barat dan Kudat) dan Wilayah Persekutuan Labuan dijangka berterusan sehingga Ahad ini.

Menurutnya, angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 50 hingga 60 kilometer sejam akan menyebabkan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter.

“Keadaan cuaca tersebut berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan serta perkhidmatan feri,” menurut Jabatan itu.

Keadaan sama turut dijangka berlaku di perairan Samui, Tioman, Bunguran, Reef South dan Labuan.

Tiupan angin kencang Timur Laut dan laut bergelora tahap kategori pertama akan berterusan sehingga Ahad ini di perairan Kelantan dan Terengganu dengan kelajuan angin 40 hingga 50 km/jam serta ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5m.

Sementara itu, angin kencang Timur Laut dan laut bergelora kategori ketiga akan berterusan sehingga Ahad ini juga di perairan Condore, Reef North, Layang-layang dan Palawan dengan kelajuan angin melebihi 60 km/jam dengan ketinggian ombak melebihi 4.5m.

“Keadaan itu juga berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk pekerja di pelantar minyak,” kata Jabatan Meteorologi. – Bernama

Komen


Berita Berkaitan