Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Nyaris dipatuk tedung selar ketika memasak

ULAR tedung selar berukuran tiga meter panjang dengan berat lima kilogram berjaya ditangkap oleh anggota APM. – Foto Recqueal Raimi

 

TUARAN: Bayangkan ketika sedang memasak, ada berasa sesuatu bergerak-gerak di kaki dan selepas menoleh ke bawah, seekor ular tedung sedang menjalar dalam keadaan bersedia untuk mematuk.

Itulah detik yang dilalui oleh Christopher Bernard, 39 ketika memasak di dapur rumahnya di Kampung Tambalugu, Tamparuli, di sini, semalam.

Terperanjat melihat haiwan berbisa itu berada di kakinya, dia serta merta melompat ke belakang dan berlari ke ruang tamu rumahnya.

“Ketika sedang memasak sekitar jam 1 tengah hari, saya berasa ada sesuatu menjalar berhampiran kaki dan sebaik melihat ke lantai, terkejut apabila mendapati seekor ular menjalar ke bawah sinki.

“Saya segera menutup api sebelum melompat dan berlari ke arah ruang tamu untuk memaklumkan kepada ahli keluarga lain,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, ular berkenaan cuba mematuknya ketika melompat tetapi hanya terkena seluar panjang yang dipakainya.

Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Unit Tuaran, Paulina Francis, berkata sebaik menerima panggilan berhubung kejadian itu, empat anggota diketuai Ketua Skuad, Jennysen Moidin bergegas ke lokasi.

“Sebaik tiba, pihak APM mendapati ular tedung selar berukuran tiga meter panjang dengan berat lima kilogram berada di belakang almari di dapur di rumah pengadu.

“Anggota APM segera menangkap reptilia itu menggunakan pencangkuk dan penyepit manakala operasi selesai sepenuhnya pada jam 1.58 tengah hari,” katanya. – BH ONLINE

ANGGOTA APM berjaya menangkap ular tedung selar di Kampung Tambalugu, Tamparuli. – Foto Recqueal Raimi

Komen


Berita Berkaitan