Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,808

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Nurul Izzah Boleh Disiasat Di Bawah Sosma – KPN

3:17pm 22/11/2015 Pak Roshan 106 views Isu Semasa,Mutakhir
Nurul Izzah

Nurul Izzah

KUALA LUMPUR – Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar boleh disiasat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan Seksyen 124 Kanun Keseksaan berhubung tindakannya bertemu Jacel H. Kiram, anak perempuan bekas ketua kumpulan bersenjata Sulu, Jamalul Kiram III.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata Nurul Izzah yang juga anggota Parlimen Lembah Pantai akan dipanggil untuk memberi kenyataan minggu depan berikutan tindakannnya yang boleh mengancam keselamatan dan keamanan negara.

“Walaupun Nurul Izzah telah memohon maaf, perbuatanya tetap dianggap serius apabila anggota Parlimen Malaysia bertemu dengan musuh negara yang telah menyerang sebahagian negara kita…kita berharap beliau bersedia memberi keterangan.

“Saya tidak tahu kenapa beliau (Nurul Izzah) bertemu dengan Jacel, dan kita perlu tahu kenapa beliau berbuat demikian,” katanya selepas menghadiri program Sunathon 2015 yang melibatkan seramai 41 orang anak anggota PDRM Bukit Aman berkhatan secara beramai-ramai.

Khalid berkata sebagai anggota Parlimen, Nurul Izzah tidak sepatutnya bertemu dengan musuh negara yang telah menyebabkan ramai anggota polis dan tentera terkorban.

Katanya polis juga akan menyiasat sekiranya terdapat kemungkinan serangan di Lahad Datu, Sabah pada tahun 2013 didalangi oleh pihak tertentu dari dalam negara berikutan pertemuan Nurul Izzah itu.

“Daripada gambar-gambar seperti Nurul Izzah memegang poster bersama musuh negara, ianya bukan satu kebetulan sebaliknya perjumpaan itu telah dirancang dan kita perlu tahu apa yang telah mereka bincangkan,” katanya.

Jacel sebelum ini memuat naik empat keping gambar pada 9 Nov lepas dalam akaun Facebook beliau yang memaparkan pertemuannya dengan Nurul Izzah.

Pada Februari 2013, kumpulan penceroboh dari selatan Filipina memasuki perairan negara menggunakan bot pancung dan berkumpul secara berperingkat di Felda Sahabat 17, Kampung Tanduo, Lahad Datu.

Insiden itu menyebabkan dua anggota pasukan keselamatan terkorban serta tiga lagi cedera manakala 12 penceroboh bersenjata terbunuh.

Enam lagi anggota polis turut terkorban dalam serangan hendap di perkampungan air Kampung Simunul, Semporna dan dua anggota tentera turut terbunuh bertempur dan kemalangan dalam operasi di Lahad Datu.

Nurul Izzah dalam kenyataannya sebelum ini mengakui beliau bertemu Jacel pada 9 Nov semasa berada di Filipina bersama dengan anggota Parlimen Batu, Tian Chua sebagai sebahagian daripada rombongan PKR bertemu dengan pelbagai pihak berkepentingan negara itu.

Setelah berdepan dengan kritikan dan kecaman daripada pelbagai pihak, Nurul Izzah akhirnya memohon maaf kepada rakyat Malaysia yang terguris dengan gambar beliau bersama Jacel itu. – BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan