Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,794

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Nunuk Ragang bakal dibangunkan sebagai destinasi pelancongan

4:31pm 15/08/2016 Leolerry Lajius 73 views Tempatan

 

RANAU: Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) bertekad untuk membangunkan Nunuk Ragang, yang terletak di Kampung Tompios dalam DUN Paginatan di sini, sebagai salah satu destinasi pelancongan perdana di daerah Ranau.

Selain itu ia juga ingin menjadikan Pesta Moginakan Nunuk Ragang yang dirayakan di tugu warisan ini setiap tahun sebagai “annual pilgrimage” bagi suku kaum Kadazandusun untuk meraihkan dan seterusnya mengukuhkan kesatuan mereka sebagai satu bangsa besar.

Huguan Siou Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, yang juga merupakan Presiden KDCA, menyuarakan hasrat tersebut semasa berucap di majlis Hari Moginakan Nunuk Ragang Ke-19 dan Ulang Tahun Ke-32 Pertabalannya sebagai Huguan Siou II yang diadakan di tugu warisan tersebut pada Sabtu.

“Sememangnya kita dalam KDCA mempunyai visi untuk membangunkan kawasan warisan Nunuk Ragang sebagai satu lagi Bandar Persinggahan atau ‘One-Stop-Centre’ di perantaraan Jalan Ranau-Sandakan yang harus diilhami dengan keunikan dan kepelbagaian suku budaya Kadazandusun. Namun pada masa ini pihak KDCA sedang menguruskan pemilikan tanah kedudukan Warisan Nunuk Ragang ini,” kata beliau.

“Apapun visi dan tujuan kita bersama dalam KDCA, yang harus dan kita perlu selalu adalah ‘Pisompuruan, Piunungan om Pisokodungan togirot maya koubasanan dotokou (Perpaduan, Persefahaman dan Kerjasama yang kuat melalui kebudayaan kita,” tambah Pairin, yang juga Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Infrastruktur.

Di masa yang sama, beliau juga menyeru agar generasi muda Kadazandusun mengambil bahagian dengan lebih aktif dalam persatuan-persatuan kebudayaan dan kemasyarakatan.

“Khususnya, saya berseru supaya mereka menjadi ahli kepada KDCA supaya kita sama-sama dapat memulihara adat-istiadat, nilai-nilai murni Kadazandusun, supaya ia tidak lupus dan hilang,” kata Pariin.

Mengenai identiti Kadazandusun, katanya, sebenarnya menerusi Resolusi Kadazan 1961, Resolusi Kadazandusun 1989, 1995 dan 2004, kita sudah mentapakan bahawa identity keluarga besar kita adalah ‘Kadazandusun’ yang bermakna tulen berlandaskan kerohanian, ke-Tuhanan dan keunikan adat budaya kita di mana Kadazan bersamaan dengan ‘Manusia bersemangat Diwato (Tuhan)’ dan manakala Dusun adalah ‘Peneroka Tanah Adat (Warisan)’.

“Tidak payahlah kita merayau-rayau lagi untuk mencari nama identity, demi identiti semata-mata yang terus menimbulkan kekeliruan dan pertelingkahan sesama kita, kerana ini akan menyekat dan memesongkan kita dalam usaha membangun bersama dan maju ke hadapan,” kata Pairin.

Tambahnya; “Apa yang penting dalam kita meninjau dna memikirkan masa hadapan kita ialah kesungguhan kita sebagai satu kaum, bergantung kepada keutuhan kesatuan kita, sehati sejiwa sebagai 1Kadazandusun.

“Jika kita bersatu dan menghargai satu sama yang lain, tidak ada masalah atau cabaran yang kita tidak dapat atasi. Justeru itu, masa sekarang ini kita perlu bersatu, terutama waktu kita sedang menghadapi banyak cabaran-cabaran politik, socio-budaya dan ekonomi.”

Sementara itu, Wakil Rakyat Paginatan Datuk Siringan Gubat dalam ucapannya menyarankan agar Pesta Moginakan ini diterjemahkan kepada semangat kepunyaan dan kekitaan, ke arah membentuk satu pisompuruan yang kukuh.

“Di samping Sunduan (semangat keperkasaan nenek-moyang) dan Sinundu (kesaktian pahlawan), orang-orang Kadazandusun juga memang terkenal dengan kejelitaan atau Linundus (dalam Bahasa Kadazandusun), di mana kaum wanitanya begitu menawan disamping mempunyai budi pekerti yang tinggi, bersopan santun dan berbudi Bahasa.

“Sifat-sifat inilah yang harus kita budayakan dalam masyarakat kita kerana ianya melambangkan keperibadian dan imej bangsa kita,” kata Siringan, yang juga Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat (KPSKTM).

“Marilah kita transformasikan Sinundu (kesaktian) dan Linundus sebagai Sunduan Nunuk Ragang (Semangat Nunuk Ragang) yang akan kita jadikan sebagai asas perpaduan bangsa Kadazandusun,” ujar beliau, yang juga merupakan Ahli Seumur Hidup KDCA dan Ahli Jawatankuasa Penyelaras KDCA Ranau, sambil berterima kasih kerana perayaan pesta tahunan turut menyumbang kepada peningkatan socio-ekonomi rakyat di persekitaran tugu warisan tersebut.

Ketua Penyelaras KDCA Ranau Datuk Dr Joachim Gunsalam, dalam ucapannya menyuarakan hasrat untuk mengetengahkan pesta di Nunuk Ragang sebagai salah satu produk pelancongan bercirikan kebudayaan kaum Kadazandusun dan Murut (KDM) yang berunsurkan rinait (ritual), dan bukan Kaamatan (Pesta Menuai Padi) di negeri ini, agar ianya lebih dikenali bukan hanya dikalangan para pelancong asing bahkan orang-orang KDM sendiri.

Beliau, yang merupakan Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan dan Wakil Rakyat Kundasang, berkata pesta sehari itu mengumpulkan para pemimpin KDCA, terutamanya ketua-ketua penyelaras persatuan tersebut, selaras dengan objektif Moginakan iaitu perkumpulan saudara dan saudari daripada dekat dan jauh untuk berkenalan dan bersatu sebagai satu rumpun KDM.

Pesta Moginakan, yang mempamerkan persembahan khas daripada suku Tinagas daripada Kota Marudu, turut dimeriahkan oleh para penari daripada persatuan-persatuan kebudayaan termasuklah daripada SMK Bundu Tuhan, SMK Matupang, SMK Mat Salleh, SMK Tamparuli dan SK Telupid.

Timbalan Presiden KDCA Datuk Dr Maximus Ongkili, yang juga merupakan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air dan Ahli Parlimen Kota Marudu, Naib Presiden KDCA dan Penasihat Jawatankuasa Penyelaras KDCA Ranau Datuk Dr Othman Minudin, Wakil Rakyat Kiulu Datuk Joniston Bangkuai, yang juga Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Kapitan Cina Datuk Jimmy Tham dan Ketua Polis Daerah Ranau DSP Farhan Lee Abdullah, antara lainnya, turut hadir. /SayangSabah

Pairin menanam bunga sebagai kenangan, sambil diperhatikan oleh Siringan (dua dari kanan), Dr Othman (tiga dari kanan) dan Dr Joachim (kanan).

Pairin menanam bunga sebagai kenangan, sambil diperhatikan oleh Siringan (dua dari kanan), Dr Othman (tiga dari kanan) dan Dr Joachim (kanan).

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan