Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Nombor VVIP tak dapat, duit RM7,900 lesap

Gambar Hiasan
Gambar Hiasan

KOTA KINABALU Hasrat seorang peniaga lelaki untuk memiliki tiga simkad telefon bimbit yang dianggap sebagai nombor VVIP dan unik tidak kesampaian, malah mangsa turut kerugian wang tunai RM7,900 yang lesap akibat ditipu oleh seorang suspek tidak dikenali.

Lebih malang lagi apabila usaha mangsa untuk menuntut ganti rugi juga mengalami kesukaran, ekoran tidak pernah bersua muka dengan suspek lelaki yang hanya dikenali sebagai Phua Chun Yong itu.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner M.Chandra berkata, kejadian itu bermula apabila mangsa warga tempatan berumur 58 tahun itu terlihat satu iklan menjual nombor telefon berkenaan disiarkan di dalam sebuah akhbar tempatan pada 31 Julai lepas.

Menurutnya, mangsa tertarik dengan tiga keping simkad bernombor 018-8888888 (RM3,000), 010-6888888 (RM2,000) dan 019-9999999 (RM2,900) selain beberapa nombor telefon lain yang dianggap sebagai Hot Number.

Mangsa kemudian menghubungi nombor telefon yang tertera di dalam iklan itu dan panggilannya telah dijawab oleh seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Phua Chun Yong, katanya di sini semalam.

Menurutnya, akibat percayakan kepada suspek, mangsa telah bertindak memasukkan wang tunai RM7,900 ke dalam akaun CIMB Bank bernombor 7615-34-983 atas nama Phua Chun Yong di Inanam tanpa berjumpa terlebih dahulu dengan suspek berkenaan.

“Mangsa telah menerima satu bungkusan yang dihantar melalui syarikat DHL Ekspress dan mengandungi beberapa keping simkad yang dibeli daripada suspek berkenaan.

Namun, sebaik mengaktifkan nombor terbabit, mangsa terkejut apabila mendapati nombor yang tertera tidak sama seperti yang dibincangkan sebelum ini,” katanya lagi.

Menyedari telah ditipu, mangsa kemudian segera membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan menipu.

Chandra berkata, suspek dipercayai menggunakan modus operandi menipu mangsa dengan mengiklankan nombor telefon bimbit yang unik yang ditawarkan dengan harga murah.

Sehubungan itu, polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek berkenaan supaya menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Gregory Eyan di talian 010-5330113 atau kepada Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersil ASP Ruzaidi Saad di talian 016 5872944 atau 088 230182.

Oleh Nuzir Andi Samsiar / Sayangsabah

Komen


Berita Berkaitan