Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,728

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

NGO Pro BN Gesa Kerajaan Negeri Haramkan Kemasukan Nurul Izzah Ke Sabah

3:27pm 20/11/2015 Pak Roshan 445 views Mutakhir,Politik

pro bn

KOTA KINABALU : Pakatan Badan Bukan Kerajaan Pro Barisan Nasional hari ini menggesa kerajaan negeri mengharamkan kemasukan Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar ke Sabah selepas tersebarnya gambar beliau bersama Jacel H. Kiram, anak perempuan bekas ketua pengganas kumpulan bersenjata Sulu, Jamalul Kiram III.

Presiden pakatan itu, Zulkarnain Mahdar berkata pihaknya akan menulis surat kepada kerajaan negeri untuk meminta supaya tidak membenarkan Nurul Izzah menjejakkan kaki ke Sabah.

“Jangan lagi kaki kamu (Nurul Izzah) menjejak masuk ke Sabah, begitu juga anggota Parlimen Batu Tian Chua,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis hari ini berhubung gambar Nurul Izzah bersama Jacel yang tersebar di laman sosial.

Jacel memuat naik empat keping gambar bertarikh 9 Nov dalam akaun facebook beliau yang memaparkan pertemuan dengan Nurul Izzah.

Dalam pada itu, Zulkarnain berkata tindakan Anggota Parlimen Lembah Pantai itu mengundang kemarahan rakyat negeri ini ekoran tidak sensitif dengan keganasan yang menimpa keluarga mangsa yang terkorban sehingga meninggalkan trauma sehingga kini.

“Tindakan ini juga memberi kesan kepada rakan kita di Sarawak dan Semenanjung Malaysia kerana perajurit yang terkorban bukan orang Sabah sahaja. Malahan tindakannya itu juga pasti memberi kesan kepada keluarga Bernard Then yang menjadi mangsa penculikan pengganas Filipina dan kemudian dibunuh,” katanya.

Zulkarnain turut menyarankan agar Polis Diraja Malaysia menubuhkan pasukan khas untuk menyiasat motif perjumpaan antara anggota pembangkang itu bersama Jacel yang mempunyai kaitan dengan pengganas dan sehingga kini masih menuntut hak ke atas Sabah.

“Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman sebelum ini juga telah mengeluarkan kenyataan bahawa meskipun Jamalul Kiram dan adiknya yang mengetuai pencerobohan di Sabah telah meninggal dunia tetapi pasukan keselamatan di negeri ini masih berjaga-jaga kerana disyaki saki-baki pengganas itu masih lagi menyimpan hasrat untuk menceroboh kali kedua dan menuntut Sabah,” katanya.

Pada Februari 2013, kumpulan penceroboh dari selatan Filipina memasuki perairan negara menggunakan bot pancung dan berkumpul secara berperingkat di Felda Sahabat 17, Kampung Tanduo, Lahad Datu.

Pertempuran tercetus pada 1 Mac 2013 antara pasukan keselamatan Malaysia dan kumpulan penceroboh ketika kumpulan terbabit cuba keluar daripada kepungan polis di Kampung Tanduo.

Insiden itu menyebabkan dua anggota pasukan keselamatan terkorban serta tiga lagi cedera manakala 12 penceroboh bersenjata terbunuh.

Sehari selepas itu, enam lagi anggota polis turut terkorban dalam serangan hendap di perkampungan air Kampung Simunul, Semporna dan dua anggota tentera turut terbunuh semasa bertempur selain kemalangan dalam operasi di Lahad Datu.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan