Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,803

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Nelayan Di Semporna Risau Keselamatan Ke Laut Akibat Kes Penculikan

8:09pm 21/07/2016 Pak Roshan 668 views Mutakhir,Tawau,Tempatan

nelayan

SEMPORNA : Kes terbaharu penculikan lima kru kapal bot tunda warga Malaysia yang berlaku di perairan Lahad Datu pada Isnin lepas menimbulkan kebimbangan kepada kebanyakan nelayan di daerah ini berhubung keselamatan mereka untuk ke laut.

Ketika ditemui Bernama hari ini, Hassanudin Jahunding, 26, berkata dia risau untuk ke laut menangkap ikan disebabkan keadaan perairan di timur negeri ini yang sudah tidak aman disebabkan ancaman kumpulan penculik.

Bekerja sebagai nelayan sejak lima tahun lepas, Hassanudin bagaimanapun tidak punya pilihan dan tetap akan turun ke laut bagi menampung perbelanjaan keluarga walaupun berdepan pelbagai ancaman.

“Saya berharap pasukan keselamatan lebih berjaga-jaga dan meningkatkan kawalan keselamatan di perairan timur negeri ini khususnya yang bersempadan dengan negara jiran,” katanya.

Lima rakyat Malaysia yang hilang di perairan Dent Haven, Tambisan, Sabah tiga hari lepas disahkan menjadi mangsa penculik kumpulan pengganas Abu Sayyaf.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini berkata pihaknya telah mendapat pengesahan mengenai perkara itu daripada pihak berkuasa Filipina.

Pada 10 Julai pula, tiga kru warganegara Indonesia sebuah kapal pukat tunda diculik oleh kumpulan penculik dari selatan Filipina di kawasan perairan Lahad Datu.

Sementara itu, seorang lagi nelayan, Awang Bakulu, 39, turut menyuarakan kebimbangannya ke laut untuk menangkap ikan akibat ancaman kejadian penculikan tersebut.

Katanya sebagai nelayan pesisir pantai, risiko ancaman jenayah penculikan adalah rendah tetapi dia tetap berwaspada khususnya mengikut arahan Perintah Berkurung dikuatkuasakan oleh polis bermula 7 malam hingga 5 pagi setiap hari.

Dia juga mahu pasukan keselamatan meningkatkan kawalan keselamatan khususnya di kawasan berisiko jenayah rentas sempadan dengan perairan Filipina.

Menurutnya dua kejadian penculikan dalam bulan ini di perairan Lahad Datu menunjukkan ada ruang yang perlu diperbaiki supaya tidak diambil kesempatan oleh kumpulan penculik.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan