Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,658

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Nelayan Bantu Operasi Mencari Bot Dan Empat Individu Hilang Di Kudat

10:28pm 10/05/2016 Pak Roshan 176 views Isu Semasa,Mutakhir

apmm1-600x367-600x367

KUDAT : Tiga buah bot pukat tunda nelayan di sini hari ini turun padang membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) bot dan empat individu yang hilang selepas bot yang mereka naiki itu karam ketika dalam perjalanan dari Pulau Balambangan ke Tanjung Simpang Mengayau, 2 Mei lepas.

Pengarah APMM Wilayah Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zubil Mat Som berkata bot pukat tunda berkenaan memberi tumpuan carian mereka di kawasan seluas 850 batu nautika persegi iaitu sektor di mana bot berkenaan dijumpai tersangkut pada pukat nelayan pada 8 Mei lepas namun terjatuh dan tenggelam semula ke dalam laut.

Katanya ketiga-tiga bot pukat tunda berkenaan akan menarik pukat masing-masing di kawasan yang dikenal pasti itu bagi memerangkap bot serta sebuah lagi enjin 30 kuasa kuda yang terdapat pada bot berkenaan.

“Mengikut prosedur operasi standard (SOP) APMM, SAR kita tamatkan pada hari ketujuh berpandukan International Maritime Manual tetapi pada hari keenam, kita ada penemuan baharu iaitu, enjin yang disahkan adik Tommy Lam Wai Yin iaitu Alen Lam, bahawa itulah enjin yang berada di bot yang hilang bersama empat mangsa.

Jadi setelah Maritime Rescue Coordinating Centre (MRCC) di Putrajaya dan pihak atasan APMM mengarahkan, maka SAR ini diteruskan seperti biasa sehingga kita dapat petunjuk baharu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Turut hadir pada sidang akhbar berkenaan ialah Ketua Polis Daerah Kudat Supt Dawi Ossen dan Pengarah APMM Kota Kinabalu Laksamana Pertama Adam Aziz.

Aset yang turut digerakan dalam SAR hari ini ialah Cenderawasih 10 dan Kilat 1 milik APMM, KD Sri Perlis dan KD Perak dari Tentera Laut Diraja Malaysia, RH10 dan Adal 16 daripada Pasukan Polis Marin, pesawat Beachcraft milik Tentera Udara Diraja Malaysia dan dua buah bot Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Dalam insiden lewat petang 2 Mei lepas, bot dan empat individu itu hilang selepas karam ketika dalam perjalanan dari Pulau Balambangan ke Kudat.

Kesemua mangsa tidak tiba di Kudat pada masa yang sepatutnya iaitu pukul 8 malam. Mangsa yang hilang ialah pasangan suami isteri dari Sepanyol, David Hernandes Gasulla dan Martha Miguel, kedua-duanya berusia 30 tahun, warga China yang juga pemilik resort di Tanjung Simpang Mengayau, Tommy Lam Wai Yin, 45, dan wanita tempatan yang juga pekerja resort, Armella Ali Hassan, 23.

Pada 8 Mei lepas, salah satu enjin bot berkenaan dijumpai tersangkut pada pukat nelayan namun sebuah lagi enjin berkuasa kuda 30 beserta bot terjatuh semula ke dalam air semasa pukat itu ditarik naik nelayan.

–BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan