Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,731

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Negara Madani (Civil State) Pertama Di Dalam Islam

11:58am 23/03/2016 Zakir Sayang Sabah 23 views i-Muslim
Gambar Hiasan

Gambar Hiasan

(Terjemahan oleh Afdholul Rahman CA dari tulisan Dr Ali As-Solabi, anggota Ittihad Al-‘alami Li Ulama’ Al-Muslimin)

Ijma’ (Kesepakatan) yang berlaku dalam baiah ke atas pemilihan Abu Bakar merupakan satu faktor yang membantu prinsip syura mengatasi sikap assobiyah yang diwarisi turun temurun yang memang telah tersebar semasa zaman jahiliah.

Dengan keputusan secara ijma’ ini, Islam memasuki era baru di mana para sahabat telah mengasaskan negara madani (civil state) yang bukannya dipimpin oleh Nabi yang menerima wahyu sebagaimana hal itu berlaku ketika hayat Rasul s.a.w., bahkan ia diuruskan oleh seorang lelaki yang telah mereka pilih secara ijma’ selepas melalui proses permesyuaratan, percanggahan dan pertentangan pendapat, maka urusan khilafah pun menjadi sebuah kerajaan madani (civil government) yang berbeza dengan kerajaan Rasul s.a.w. yang mempunyai tabiat keagamaan berupa petunjuk dari Tuhan.

Tetapi Abu Bakar memilih untuk dinamakan sebagai khliafatur Rasul (pengganti Rasul) sebagai sebuah pengukuh keazaman untuk terus berjalan di atas manhaj yang telah diletakkan oleh Nabi s.a.w. sebelum kewafatan baginda sama ada dalam urusan akhirat atau dunia.

Selepas Abu Bakar, maka Umar pula hadir mengambil gelar sebagai Amirul Mukminin (ketua orang-orang beriman) sebagai sebuah pengukuh kepada posisinya yang mewakili ummat dan jamaah muslimin.

Negara yang dipimpin oleh As-Siddiq adalah negara madani berasaskan syura, kerana siapa yang mengepalai negara tidaklah berhak baginya kekuasaan mutlak. Hal itu kita boleh kita rujuk kembali dalam khutbah Abu Bakar selepas memegang tampuk khilafah di mana beliau berkata :

“Aku telah dipilih di kalangan kamu sedangkan aku bukanlah yang terbaik di kalangan kamu. Sekiranya aku melakukan kebaikan, maka bantulah aku. Sekiranya aku berlaku buruk, maka luruskanlah aku.” Kemudian beliau menambah, “Taati aku selama aku mentaati Allah dan Rasul- Nya, sekiranya aku derhaka kepada keduanya, maka tidak ada ketaatan bagi kalian terhadapku.”

Makna hal itu adalah beliau memberikan hak kepada ummat hak untuk mengawasi (supervise) kerja-kerjanya dan hak untuk memastikan perlaksanaan tanggungjawabnya, ditambah pula dengan sememangnya ummat yang telah memilihnya melalui perantara orang-orang yang mewakili ummat itu. Kedua-dua prinsip ini adalah asas bagi sistem demokrasi di zaman sekarang.

Sesungguhnya kerajaan As-Siddiq berdiri di atas asas syura yang kukuh dan rohnya yang lebih penting dari kerangka yang berubah-ubah dan kemampuan berkembang, di antara usul umum yang kukuh ini adalah seperti berikut :

  • Beliau melihat bahawa beliau bertanggungjawab terhadap harta awam
  • Bertanggungjawab terhadap sebarang kesalahan atau penyelewengan dari keadilan
  • Beliau bermesyuarat dengan ramai orang dan menerima pemerhatian dan tapisan dari mereka
  • Beliau iltizam dengan hukum-hukum syara’ dan keadilan
  • Beliau sendiri menguruskan bahagian judisiari, atua melantik qadhi yang bertanggungjawab atas hal itu, serta diikuti oleh para khalifah selepasnya atas manhaj yang sama

 

Negara as-siddiq berdiri atas asas syura, al-muwathonah (kewargangearaan), human rights, kebebasan awam, hak wanita dan lain-lain yang bersandar di atas maqasid Al-Quran Al-Karim dan panduan kenabian.

Sesungguhnya negara Islam As-Siddiq itu mempunyai ciri madani, bukannya negara teokrasi. Di sana ada perbezaan besar atas daulah Islamiah yakni daulah yang berdiri di atas asas Islam atau daulah ad-diniah (negara teokrasi) yang diketahui oleh orang-orang Nasrani dari Barat di zaman pertengahan.

Di sini, terdapat  kekeliruan besar di antara apa itu Islami apa itu dini (teokrasi/keagamaan). Ramai orang menganggap bahawa semua yang Islami itu adalah dini. Sedangkan hakikatnya Islam itu lebih luas dan lebih besar dari kalimah deen (agama). Sehinggakan ulama’ usul di kalangan muslimin menjadikan perkataan ‘deen’ sebagai salah satu dari dhoruriyyat al-khoms (perkara dhoruri yang 5) atau enam yang di mana syariah datang untuk memelihara hal itu, antaranya adalah : ad-deen (agama), an-nafs(diri), al-aql (akal), an-nasl (keturunan), al-mal (harta) dan sebahagian mereka menambah al-‘ardh (maruah).

Saya berikan contoh untuk menjelaskan hal ini. Kita menyeru kepada sebuah tarbiyah (pendidikan) Islam yang menyeluruh. Tarbiyah jenis ini meliputi beberapa jenis tarbiyah yang boleh mencapai bilangan 10 dan lebih. Pertamanya, tarbiyah keagamaan, ditambah tarbiyah akal, tarbiyah tubuh, tarbiyah akhlak, tarbiyah berbentuk askar, kemasyarakatan, ekonomi, politik, sains, kesusateraan, kemahiran, seni, kejantinaan dan lain-lain.

Tarbiyah Ad-Diniah (pendidikan keagamaan) adalah salah satu cabang pendidikan Islam yang banyak. Maka adalah merupakan kesalahan sekiranya kita menyangka bahawa daulah Islamiah yang dipimpin oleh As-Siddiq adalah daulah diniah (keagamaan). Sesungguhnya daulah Islamiah adalah daulah madaniah (civil state) yang berdiri di atas asas pemilihan (al-Ikhtiar), baiah, syura, tanggungjawab pemerintah terhadap ummat, hak setiap individu dalam kalangan rakyat untuk menasihati pemerintah, menyuruhnya dengan perkara maaruf, mencegahnya dari kemungkaran, bahkan Islam menganggap ini sebagai satu wajib kifayah terhadap muslimin, dan menjadi fardhu ain sekiranya seseorang itu mampu melakukan hal itu dalam keadaan orang lain lemah atau takut untuk melaksanakan hal itu.

Sesungguhnya pemerintah dalam Islam terikat, bukannya berkuasa mutlak. Di sana ada syariah yang mengawalnya, ada nilai yang membimbingnya, ada hukum yang mengikatnya. Iaitulah hukum-hukum yang bukan diletakkan oleh pemerintah itu, bukan juga oleh partinya atau para pengawalnya, bahkan Rabbun Nas, Malikun Nas, Ilahun Nas (Tuhan manusia) yang meletak dan menyusun atur untuknya dan untuk selainnya. Tidaklah dia atau selainnya mampu untuk menutup hukum-hukum itu atau membekukannya. Tidaklah ada sesiapapun sama ada ketua, parlimen, raja, kerajaan, majlis syura, biro pusat, muktamar rakyat, atau kekuatan mana sekalipun yang berhak untuk mengubah hukum Allah yang telah tetap.

Sesungguhnya zaman Khilafah Ar-Rasyidah dianggap sebagai sumber terbesar dalam fiqh as-siyasi (fiqh kepolitikan), pembinaan negara dan perkembangan ketamadunan. Oleh itu, perlunya kajian yang mendalam kerana ia menunjukkan kepada kita sejarah-sejarah terdahulu yang dianggap sebagai hujah dalam fiqh ar-riasah (fiqh kepemimpinan) yang dipanduselia oleh maqasid Al-Quran Al-Karim dan As-Sunnah An-Nabawiah.

Sekiranya orang-orang Britain menganggap Magna Carta sebagai perlembagaan asas kepada kebebasan mereka, orang Perancis menganggap human rights sebagai perlembagaan mereka, maka muslimin menganggap kerajaan khulafa’ Ar-Rasyidin sebagai rekod utama kepada kebebasan mereka dari aspek politik. Ia adalah covenant (perlembagaan atau pakatan) yang praktikal, bukan semata-mata penjelasan butir kata-kata.

Adapun yang berupa bentuk penjelasan butir kata-kata, kita dapati hal itu dalam khutbah wida’ yang disampaikan oleh Rasul yang mulia dalam haji perpisahan. Cukuplah untuk kita sebutkan petikan dari ucapan itu :

“Wahai manusia, sesungguhnya darah, harta, dan maruah kalian haram ke atas kamu sebagaimana diharamkan di hari kalian ini, di negeri kalian ini. Berwasiatlah kepada wanita dengan baik. Sesungguhnya telah aku tinggalkan di kalangan kalian sesuatu yang mana jika kalian taat kepada hal itu, maka kalian tidak akan sesat selamanya iaitu kitabullah dan sunnah Rasul-Nya. Tidak ada kelebihan bagi Arab ke atas ‘ajam melainkan dengan taqwa. Tidak ada kelebihan bagi berkulit putih ke atas merah, tidak juga merah ke atas putih melainkan dengan taqwa.”

(Sumber: LangitIlahi.com, oleh Afdholul Rahman)

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan