Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Nasib Musa di tangan Speaker

KOTA KINABALU: Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman, menerusi surat pada 30 Julai lalu, sudah memaklumkan kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah mengenai ketidakhadirannya untuk mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerana menjalani rawatan perubatan.

Peguam Musa, Tengku Fuad Tengku Ahmad, berkata menerusi surat itu, Tan Sri (Musa) memaklumkan kepada Speaker bahawa beliau kini sedang menjalani siri rawatan kesihatan.

“Tan Sri kini sedang menunggu keputusan ujian perubatan dan perawatan untuk menentukan keadaan kesihatannya termasuk adakah selamat untuk perjalanan jauh balik ke Sabah.

“Dokumen sokongan mengenai keadaan perubatan Tan Sri yang serius turut dikemukakan kepada Speaker untuk pertimbangan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Kenyataan itu adalah bagi mengulas laporan portal New Straits Times pada 5 Ogos lalu mengenai tarikh akhir mengangkat sumpah masing-masing bagi Musa dan anaknya, Yamani Hafez Musa sebagai Ahli Parlimen Sipitang.

Menerusi laporan portal itu, Musa dan Yamani masing-masing mempunyai tempoh sehingga September ini dan Januari depan untuk mengangkat sumpah sebagai ADUN dan Ahli Parlimen.

Pada 16 Julai lalu, Yamani gagal menghadirkan diri di Dewan Rakyat untuk mengangkat sumpah dan Dewan Rakyat tidak menerima sebarang pemberitahuan menerusi surat mengenai sebab beliau tidak dapat menghadirkan diri untuk mengangkat sumpah pada tarikh berkenaan.

Dua beranak itu yang masing-masing memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Sibuga dan Parlimen Sipitang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), 9 Mei lalu `hilang’ hingga sekarang dan belum tampil mengangkat sumpah di DUN dan Parlimen.

Tengku Fuad berkata, melalui nasihat doktor perubatan, Tan Sri secara fizikal tidak sihat untuk perjalanan jauh kerana ia mungkin memudaratkan kesihatannya.

“Atas semua sebab ini, Tan Sri menzahirkan rasa kesalnya bahawa beliau mungkin tidak dapat hadir ke Sabah untuk mengangkat sumpah di hadapan Speaker.

“Bagaimanapun Tan Sri meminta Speaker untuk memberi pertimbangan khas dan melanjutkan masa untuk mengangkat sumpah susulan masalah kesihatannya.

“Ini kerana budi bicara untuk memberikannya adalah di bawah kuasa Speaker,” katanya sambil menambah Speaker sudah dimaklumkan sepenuhnya mengenai keadaan perubatan Tan Sri.

Sehubungan itu, katanya, Tan Sri (Musa) turut merakamkan terima kasih kepada semua rakyat yang mendoakannya segera sembuh dan memberi jaminan bahawa beliau akan kembali tidak lama lagi. – Oleh Suzianah Jiffar/BH Online

Komen


Berita Berkaitan