Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

12,503

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Najib Yakin Momentum Pertumbuhan Ekonomi Kekal Suku Kedua 2014

6:54pm 12/06/2014 Pak Roshan 3 views Nasional

ekonomi

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak yakin momentum pertumbuhan ekonomi negara akan kekal kukuh dalam tempoh suku kedua tahun ini, didorong kestabilan politik dalam negara dan keyakinan pelabur asing terhadap dasar-dasar kerajaan.

Beliau berkata momentum itu turut dibantu oleh kegiatan domestik yang berdaya maju dan kekuatan pasaran eksport yang berdaya saing dalam suku pertama 2014.

“Insya-Allah, perkembangan yang menggalakkan ini akan membolehkan ekonomi negara mencapai sasaran melebihi lima peratus bagi keseluruhan tahun ini.

“Sasaran ini juga adalah selaras dengan unjuran terkini Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) bagi Malaysia sebanyak 5.2 peratus pada 2014,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) pada persidangan Dewan Rakyat di sini Khamis.

Shamsul bertanyakan kedudukan terkini prestasi ekonomi negara dan perbandingan dengan negara lain dari segi eksport.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata ekonomi negara telah menunjukkan trend memberangsangkan dalam tempoh suku pertama 2014 dengan mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 6.2 peratus.

Beliau berkata pertumbuhan ini merupakan pencapaian tertinggi yang pernah dicatatkan sejak suku keempat 2012.

“Malah, pencapaian ini adalah lebih baik berbanding Filipina (5.7 peratus), Indonesia (5.2 peratus), Singapura (5.1 peratus) dan Thailand (-0.6 peratus).

“Prestasi yang meyakinkan ini disokong oleh aktiviti ekonomi domestik yang terus cergas serta perkembangan perdagangan luar yang bertambah baik,” katanya.

Beliau berkata pencapaian ini adalah hasil daripada program transformasi kerajaan (GTP), selain disokong oleh paras simpanan domestik yang tinggi, rizab antarabangsa yang kukuh, sistem perbankan yang teguh, kadar pengangguran yang rendah dan momentum kegiatan pelaburan yang terus rancak.

Najib berkata kerancakan pelaburan swasta terus mencerminkan peranan dalam ekonomi negara apabila pelaburan swasta pada tahap semasa berkembang 16.7 peratus kepada RM44.4 bilion, menyumbang 66.5 peratus kepada jumlah pelaburan dalam tempoh suku pertama 2014.

Katanya kedudukan Malaysia di tangga ke-15 berbanding tempat ke-25 yang dicatatkan tahun lepas dalam Indeks Keyakinan Pelaburan Langsung Asing (FDICI), turut mencerminkan peningkatan tinggi pelaburan asing sebanyak RM38.2 bilion pada 2013 berbanding RM28.5 bilion pada 2012.

Selain itu, jumlah perdagangan Malaysia meningkat 8.3 peratus kepada RM349.4 bilion dalam tempoh suku pertama 2014, berbanding RM322.6 bilion atau 1.4 peratus pada 2013, didorong oleh peningkatan eksport sebanyak 10.8 peratus.

“Sejajar perkembangan ekonomi negara yang memberangsangkan, kadar penganggurnya terus kekal rendah sebanyak tiga peratus pada Mac,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Shamsul Anuar, Najib berkata faktor terbesar yang menjadi pendorong kepada penambahan pelaburan swasta ialah faktor keyakinan.

“Malaysia mengamalkan dasar mesra perniagaan, termasuk pelaburan asing, dan kita membuat keputusan yang pantas serta memberi insentif yang kompetitif, menyebabkan pelabur terdorong untuk menambah pelaburan mereka di negara kita,” katanya.

Najib berkata pelaburan swasta mencatat RM160.5 bilion iaitu peningkatan 14.5 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Shamsual turut bertanyakan mengenai keyakinan kerajaan dalam mengekalkan kerancakan pelaburan swasta di negara serta faktor-faktor yang mendorong kepada pelaburan itu.

Perdana Menteri bagaimanapun menempelak soalan tambahan M.Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) yang menuduh kerajaan mengetahui, tetapi sengaja tidak memberikan perhatian kepada ramai lepasan universiti yang masih menganggur.

“Ini memang kerja pembangkang …sentiasa menafikan kenyataan dan realiti. Realitinya ialah penilaian yang dibuat oleh badan-badan penarafan antarabangsa. Saya tidak menafikan masih ada cabaran dalam kos sara hidup, tambah peluang pekerjaan dan meninggikan lagi permintaan.

“Tetapi pada keseluruhannya, kita tidak dapat menafikan pencapaian ekonomi Malaysia adalah memberangsangkan,” katanya.

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan