Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Najib Ulangi Jaminan TPPA Beri Faedah Pada Negara

Najib-Tun-Razak1

KUALA LUMPUR, 10 Mei – Datuk Seri Najib Tun Razak mengulangi jaminan kepada rakyat Malaysia bahawa negara akan mendapat faedah daripada pasaran lebih luas dengan menyertai Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) memandangkan 12 negara yang sedang berunding perjanjian itu berpotensi bertambah kepada 20 pada masa depan.

Perdana Menteri berkata jika Malaysia tidak menyertai TPPA, negara akan kerugian besar memandangkan Malaysia sebuah negara berorientasikan eksport yang membentuk sebahagian daripada rejim perdagangan bebas global.

Beliau berkata TPPA berpotensi menawarkan akses pasaran yang lebih luas bukan sahaja kepada syarikat-syarikat yang sedang beroperasi di Malaysia, malah mampu menarik minat pelabur di seluruh dunia untuk membuka operasi perniagaan mereka di sini.

Dengan itu, perkongsian TPP boleh menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang menarik sekaligus meningkatkan pelaburan langsung asing (FDI), kata beliau dalam rancangan Ruang Bicara Khas bersama Perdana Menteri terbitan Bernama TV yang disiarkan melalui saluran Astro 502 malam Sabtu.

Najib yang juga Presiden Umno ditemu ramah selama sejam di Pejabat Perdana Menteri oleh Ketua Pengarang Bernama Datuk Zulkefli Salleh, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama TV Datuk Ibrahim Yahaya dan Penolong Pengarang Jamaluddin Muhammad sempena ulang tahun Umno ke-68 Ahad ini.

Perdana Menteri berkata Malaysia merupakan antara negara perdagangan yang besar di dunia, dengan jumlah nilai perdagangan negara adalah 167 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar.

“Syarikat-syarikat boleh eksport dari Malaysia tanpa dikenakan tarif ataupun dikenakan tarif yang rendah. Jadi kita ada kelebihan untuk menarik pelabur,” katanya.

Perdagangan Malaysia tahun lepas berkembang sebanyak 4.6 peratus kepada RM1.36 trilion berbanding RM1.309 trilion pada 2012 dipacu oleh prestasi eksport yang lebih baik meskipun persekitaran luar yang sukar.

Negara bersedia untuk mencapai pertumbuhan jumlah dagangan antara lima dan enam peratus tahun ini dengan pemulihan dalam eksport elektrik dan elektronik.

Pelaburan yang diluluskan dalam negara mencecah paras tertinggi pada RM216.5 bilion tahun lepas, naik daripada RM167.9 bilion pada 2012.

Sementara itu, Najib berkata jumlah negara yang terlibat dalam rundingan TPP juga dijangka bertambah kepada 20 negara pada masa akan datang berbanding 12 negara setakat ini.

TPP, perjanjian perdagangan bebas abad ke-21 itu kini dirunding antara Malaysia, Singapura, Jepun, Vietnam, Brunei, Australia, New Zealand, Peru, Mexico, Chile, Amerika Syarikat dan Kanada.

Negara-negara ini menguasai sehingga 40 peratus daripada keluaran dalam negara kasar dunia.

Taiwan dan Korea Selatan menyatakan minat dalam keanggotaan TPP pada tahun lepas.

Najib turut menyarankan seluruh rakyat supaya menilai penglibatan Malaysia dalam rundingan TPP yang masih berjalan secara menyeluruh.

“Kalau Malaysia terkeluar daripada TPP, apakah implikasinya? Mesti ada kosnya.

“Kita tidak nampak hari ini kosnya, sebab itu kita perlu menilai penyediaan kita dalam TPP secara keseluruhan,” kata Najib yang juga Menteri Kewangan.

Di samping itu, Najib mengulangai pendirian kerajaan akan memastikan pentadbirannya tidak menandatangani sesuatu yang boleh menjejaskan kepentingan seluruh rakyat Malaysia.

“Saya tidak kata kita boleh untung semua, tetapi asalkan keuntungan kita itu melebihi apa yang mungkin kita terpaksa lepaskan. Asalkan keseluruhannya lebih baik untuk kita,” jelasnya.

Semasa sidang akhbar bersama bersempena lawatan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama ke Malaysia bulan lepas, Najib berkata Malaysia komited kepada proses mendapatkan persetujuan daripada rakyat sebelum menandatangani TPPA dengan melibatkan orang ramai dan membentangkannya kepada Parlimen.

“Kami sedang berusaha dalam soal sensitif dan cabaran dan cuba untuk menyelesaikannya dengan hasrat untuk memuktamadkanya dalam masa terdekat,” kata beliau.

Sementara itu, Obama berkata TPPA akan memberi manfaat kepada Malaysia dalam mencapai status negara berpendapatan tinggi pada 2020.

Beliau percaya TPPA merupakan perkara yang tepat kerana ia mewujudkan pekerjaan dan perniagaan yang akan memberi manfaat kepada negara-negara seperti Malaysia yang dalam peralihan daripada berintensif buruh kepada tenaga kerja berkemahiran tinggi.

TPP merupakan perjanjian perdagangan untuk menguruskan perdagangan, menggalakkan pertumbuhan dan mengintegrasikan ekonomi rantau ini yang mewakili pasaran yang besar daripada 800 juta orang.

Setakat ini, 19 pusingan rundingan formal TPP telah diadakan.- BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan