Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

NAJIB TIDAK TAHU ROMBAKAN KABINET

kabinet

ASHGABAT (TURKMENISTAN): Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau tidak tahu menahu mengenai sebarang rombakan Kabinet dalam masa terdekat ini.

“Saya tidak tahu,” katanya ketika ditanya wartawan Malaysia di sini, mengenai laporan sebuah akhbar harian mengenai kemungkinan rombakan Kabinet dilakukan pada Jumaat.

Najib berkata demikian pada sidang akhbar sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur dari Lapangan Terbang Antarabangsa Ashgabat pada Selasa malam, setelah melakukan lawatan rasmi yang kedua ke Turkmenistan.

Beliau diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor dalam lawatan dua hari itu.

The Malay Mail, yang memetik sumber berkata Najib sedang menimbangkan rombakan besar dalam barisan pentadbirannya bukan hanya untuk membawa masuk Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong sahaja.

Barisan baharu itu dilaporkan mungkin diumumkan seawal Jumaat ini dan selewat-lewatnya selepas Aidilfitri yang dijangka jatuh pada 28 Julai.

Sementara itu Perdana Menteri berlepas pulang ke tanah air Selasa malam selepas menamatkan lawatan rasmi dua hari ke Turkmenistan.

Pesawat khas yang membawa Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Ashgabat menuju ke Kuala Lumpur.

Semasa lawatan rasmi kedua beliau ke negara Asia Tengah ini, Najib menandatangani satu kenyataan bersama dengan Presiden Turkmenistan Gurbanguly Berdimuhamedov.

Mereka kemudian menyaksikan majlis menandatangani empat dokumen iaitu Perjanjian Kerjasama Kebudayaan antara Malaysia dan Turkmenistan; Minit yang Telah Dipersetujui berhubung Terma Rujukan bagi Jawatankuasa Bersama Perdagangan antara Malaysia dan Turkmenistan; Memorandum Persefahaman (MoU) berkaitan kerjasama pendidikan; dan MoU berkaitan kerjasama jangka panjang antara Petronas dan the State Agency in Charge of Hydrocarbon.

Perdana menteri berkata pertemuan beliau dan Berdimuhamedov berlangsung dalam suasana mesra dan membuahkan hasil serta mereka berkongsi sentimen sama berkaitan pelbagai isu dua hala, serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.

Najib yang juga Menteri Kewangan, berkata Malaysia berminat untuk meneroka bidang kerjasama baharu di Turkmenistan seperti sektor produk halal, perbankan Islam, perlombongan, pembinaan, kimia, pelancongan dan komunikasi.

Beliau turut melahirkan penghargaan kepada Berdimuhamedov kerana membenarkan Petronas memainkan peranan lebih besar dalam sektor minyak dan gas di Turkmenistan.

Najib mengadakan lawatan rasmi pertama ke Turkmenistan pada 2011.

Malaysia dan Turkmenistan menikmati hubungan rapat dan mesra selepas mewujudkan hubungan diplomatik pada tahun 1992.

Turkmenistan ialah rakan dagang Malaysia yang ketiga terbesar di rantau Asia Tengah.

Pada 2013, jumlah dagangan kedua-dua negara ialah sebanyak US$33.13 juta berbanding US$11.68 juta bagi 2012 dan US$24.27 juta pada 2011.

Komen


Berita Berkaitan