Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

12,503

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

NAJIB TIBA DI CHINA UNTUK ULANG TAHUN KE 40 HUBUNGAN DIPLOMATIK

6:30am 28/05/2014 Pak Roshan 24 views Nasional

pic-43
XI’AN (China): Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di sini pada Selasa untuk lawatan rasmi enam hari di China sempena ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China

.
Najib, yang diiringi isterinya Datin Seri Rosmah Mansor tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Xi’an Xianyang pada kira-kira 5.25 petang disambut oleh Duta Besar Malaysia di China, Datuk Iskandar Sarudin dan isterinya Datin Rahmah Mohd Lajis, Naib Gabenor Provinsi Shaanxi Wang Lixia, Timbalan Setiausaha Agung Provinsi Shaanxi Zhang Xiaoning, Ketua Pengarah Pejabat Hal Ehwal Luar Shaanxi Zhang Baowen dan Duta Besar China ke Malaysia Huang Huikang.

Turut mengiringi Najib ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Duta Khas Perdana Menteri di China Tan Sri Ong Ka Ting.
Najib dan rombongannya dijadual melawat Xi’an dan Beijing dari 27 Mei hingga 1 Jun sempena ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik dijalin antara Malaysia dan China.

Sejurus tiba di hotel penginapan mereka, Najib dan Rosmah menerima kunjungan Gabenor Provinsi Shaanxi, Lou Qinjian. Kemudiannya, Najib dan rombongannya dijadual menghadiri jamuan malam dihoskan oleh Lou di hotel itu.
Beliau dijadual merasmikan Minggu Festival Makanan Halal Malaysia-Xi an di Jalan Beiyuanmen (Jalan Muslim) dan melawat gerai Malaysia serta melalukan lawatan ke Muzium Pahlawan Qin Terracotta dan Kuda dan Masjid Besar Xi’an berusia 1,200 tahun.

Najib juga dijadualkan akan berlepas ke Beijing dan bertemu pemimpin tinggi China serta menghadiri mesyuarat dua hala dengan pemimpin tinggi China, menyaksikan majlis pemeteraian memorandum persefahaman antara kerajaan melibatkan kerjasama perdagangan dan politik, melawat Beijing Foreign Studies University dan menunaikan solat Jumaat di Masjid Niujie.

Beliau juga dijadual menghadiri sidang kemuncak ekonomi dengan para usahawan China di Beijing. Malaysia dan China menjalin hubungan diplomatik pada 31 Mei 1974 semasa almarhum Tun Abdul Razak Hussein, yang juga ayahanda Najib, adalah perdana menteri Malaysia.

Malaysia merupakan negara pertama dalam kalangan anggota Asean menjalin hubungan diplomatik dengan ekonomi kedua terbesar dunia itu.

China telah menjadi rakan perdagangan terbesar Malaysia sejak 2009, manakala Malaysia terus menjadi rakan perdagangan terbesar China dari Asean sejak 2008.

Tahun lepas, perdagangan dua hala antara kedua-dua negara berjumlah RM202.23 bilion, meningkat 12.5 peratus.
Malaysia dan China bersetuju untuk meningkatkan perdagangan dua hala kepada US$160 bilion menjelang 2017.

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan