Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,653

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Najib Saksi Pemeteraian Perjanjian Rakan Projek Pelaksana Lebuhraya Pan Borneo Sabah

1:52pm 11/04/2016 Pak Roshan 332 views Berita Pilihan,Mutakhir,Nasional

pan-borneo

PUTRAJAYA, 11 April (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyaksikan majlis menandatangani Perjanjian Rakan Projek Pelaksana (PDP) untuk mengurus dan melaksana pembinaan 706 kilometer (km) Lebuhraya Pan Borneo Sabah, di sini.

Turut menyaksikan perjanjian yang melibatkan tiga pihak iaitu Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Sabah dan pihak PDP ialah Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kerja Raya pada majlis itu, projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah akan mengubah landskap infrastruktur dan menghubung bandar-bandar utama di Sabah dengan lebih efisien, selesa dan selamat bagi 3.74 juta penduduk di negeri itu.
Menurutnya, projek itu yang bermula dari Sindumin hingga ke Tawau, akan menjadi jalan penghubung strategik yang selamat serta memberi keselesaan perjalanan kepada pengguna jalan raya.

“Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah merupakan satu projek naik taraf laluan sedia ada serta pembinaan laluan baharu menghubungkan antara bandar. Lebuhraya ini merupakan laluan utama dan tidak dikenakan tol,” katanya.

Perjanjian itu ditandatangani oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya Datuk Seri Zohari Akob, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Tan Sri Sukarti Wakiman dan Pengarah Urusan Borneo Highway PDP Sdn Bhd Ir Shahelmey Yahya.

Syarikat Borneo Highway PDP Sdn Bhd telah dilantik sebagai PDP untuk pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah.

Menurut kenyataan itu, pihak PDP akan bertindak sebagai ‘single point of accountability’ yang akan bertanggungjawab dalam mengurus dan menyelia pembangunan fasa pertama lebuh raya itu dengan kadar kos yang berpatutan.

Mengikut tempoh pembinaan yang dipersetujui oleh kerajaan, lebuh raya itu dijangka siap sepenuhnya sebelum 31 Dis 2021.

“Sepanjang tempoh pelaksanaan projek lebuh raya ini, PDP akan bertanggungjawab melaksanakan projek ini berdasarkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang telah dipersetujui,” katanya.

Pakej pertama projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah itu melibatkan jajaran Papar-Donggongan sepanjang 11.7km yang merupakan sebahagian daripada 706km jajaran Pan Borneo Sabah fasa satu.

Kebanyakan laluan di fasa satu akan dinaik taraf kepada empat lorong dua hala dengan piawaian Jabatan Kerja Raya R5 (lebar minimum lorong: 3.5m; had laju 100km sejam), yang dijangka dilancarkan pada penghujung bulan ini.

Bagi menyelaraskan pelaksanaan projek, sebuah Jawatankuasa Eksekutif bakal dibentuk dan dipengerusikan oleh Sukarti dan dianggotai oleh wakil daripada agensi kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri.

Jawatankuasa itu bertanggungjawab untuk memantau, menyelaras dan menyelesaikan sebarang isu yang mungkin timbul dalam pelaksanaan projek ini.

“Selain itu, jawatankuasa ini juga akan memastikan penglibatan rakyat Sabah dalam projek ini dapat dimaksimumkan,” katanya.

Sementara itu, Musa yang ditemui pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian, mengucapkan terima kasih kepada kerajaan pusat khususnya Najib yang menunjukkan komitmen tinggi dan menepati janji kepada rakyat Sabah.

“Perdana Menteri ikhlas mahu memastikan infrastruktur di Sabah dibangunkan untuk kebaikan dan keselesaan rakyat seluruh negeri. Saya percaya dan optimis lebuh raya berkenaan dapat memberi keselesaan dan kemudahan serta membawa pembangunan pesat di Sabah,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Irwan Serigar Abdullah dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan