Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,698

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Najib Minta Filipina Buru Dan Ambil Tindakan Terhadap Pembunuh Bernard Then

10:50pm 18/11/2015 Pak Roshan 691 views Mutakhir,Nasional

NAJIB TUN RAZAK

MANILA : Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah meminta Filipina untuk memburu dan mengambil tindakan terhadap pihak yang bertanggungjawab membunuh rakyat Malaysia, Bernard Then Ted Fen, yang diculik kumpulan bersenjata pada Mei lepas.

“Kita akan memberi kerjasama yang sepenuhnya kepada kerajaan Filipina dalam usaha mereka mengambil tindakan dan membawa mereka (penculik) ke muka pengadilan,” kata beliau.

Najib, yang kini berada di Filipina untuk Sidang Kemuncak Para Pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) ke-23 , berkata beliau telah berbincang tentang insiden tersebut dengan Presiden Filipina Benigno S.Aquino III.

“Beliau beritahu saya bahawa kemungkinan mereka mengambil tindakan tersebut kerana operasi yang dilakukan oleh Tentera Filipina telah memberi tekanan kepada mereka dan terpaksa berpindah-randah dalam bergerak dengan lebih pantas.

“… dan kehadiran rakyat Malaysia itu menyebabkan pergerakan mereka tersekat tetapi ia bukan satu alasan yang boleh diterima. Beliau (Then) sepatutnya dibebaskan,” kata perdana menteri.

Najib berkata tindakan kejam dan tidak berperikemanusian itu tidak boleh diterima.

“Saya menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang dibunuh dengan kejam dan saya melahirkan rasa sedih saya,” kata Najib.

Singapore Straits Times menerusi berita dalam taliannya di www.straitstimes.com memetik Komander Petugas Bersama Kumpulan Sulu, Brig Jeneral Alan Arrojado sebagai berkata Bernard Then dipancung kira-kira 4 petang di lokasi terpencil dipercayai kubu kuat Abu Sayyaf di pulau Jolo, Wilayah Sulu, kira-kira 1,400km ke selatan Manila.

Pada 14 Mei lepas, Then, 39, seorang jurutera elektrik, merupakan antara dua mangsa yang diculik empat lelaki bersenjata dari Selatan Filipina yang menyerbu Restoran Ocean King di Sandakan dalam kejadian pada 7.45 malam.

Seorang lagi mangsa culik ialah Thien Nyuk Fun, 50 yang juga pengurus restoran berkenaan. Bagaimanapun, beliau dibebaskan kira-kira seminggu lepas.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan