Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

12,503

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Najib bersyukur BN menang di Teluk Intan

7:42am 01/06/2014 Pak Roshan 17 views Nasional

pic-68

BEIJING: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Sabtu malam melahirkan rasa syukur atas kemenangan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mah Siew Keong pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan.

Najib, selaku Pengerusi BN, berkata berita tersebut merupakan sesuatu yang manis pada malam terakhir program lawatan enam hari beliau ke China.

“Saya amat bersyukur sekali kepada Allah s.w.t…saya rasa gembira yang amat sangat apabila mendapat tahu BN menang. Walaupun majoritinya nipis tetapi dalam sistem demokrasi, satu undi pun dikira menang,” katanya pada sidang media bersama wartawan Malaysia yang membuat liputan lawatannya ke China sempena sambutan ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara itu.

Berita kemenangan BN itu diterima Najib semasa menghadiri majlis Makan Malam Persahabatan Malaysia-China di sebuah hotel di Beijing. Sebaik sahaja menerima khabar itu, beliau terus menelefon Mah untuk mengucapkan tahniah.

Najib juga mengucapkan tahniah kepada timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassan yang mengetuai kempen PRK itu dan seluruh jentera BN yang telah berkerja keras untuk merampas semula kerusi itu daripada DAP.

Dalam pertandingan satu lawan satu, Mah, yang juga Presiden Gerakan, mengalahkan calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud dengan majoriti 238 undi.

Najib berkata kemenangan itu juga bermakna kerana BN tewas dengan majoriti lebih 7,000 pada pilihan raya umum 2013 dan mengucapkan terima kasih kepada para pengundi di Teluk Intan yang memilih parti kerajaan BN kali ini.

“Ini bererti faktor peralihan sokongan yang besar sekali pada BN. Kita akan kaji punca-punca positif yang menyebabkan faktor peralihan sokongan kepada BN…terlalu awal untuk buat kesimpulan,” katanya.

Ditanya sama ada Mah akan diberi jawatan dalam Kabinet seperti yang diumumkan beliau di Beijing dua hari lepas, Najib berkata ia akan ditunaikan kerana BN memegang pada slogan ‘Janji Ditepati’.

Apabila seorang wartawan menyatakan akan ada tambahan dua presiden parti komponen lagi dalam Kabinet nanti sambil merujuk kepada Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai, Najib secara berseloroh berkata: “Mereka tidak boleh melupakan presiden MCA.”

“Tidak boleh lupa Presiden MCA…beliau juga menyumbang atas kemenangan ini. Sekiranya BN bersatu padu dan melakukan kerja secara bersatu di peringkat akar umbi, anda boleh melihat kesan dan hasil yang lebih kukuh bagi calon BN,” kata Najib.

Muhyiddin, ketika mengulas perkara yang sama berkata kejayaan merampas kembali kerusi Parlimen Teluk Intan merupakan satu petanda penting bahawa keyakinan dan sokongan rakyat terhadap BN semakin kukuh.

Beliau yang juga timbalan pengerusi BN berkata beliau percaya pengundi Teluk Intan telah membuat keputusan yang matang dengan menilai prestasi baik dan pengalaman calon BN, Mah, yang pernah berkhidmat sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri Pasir Bedamar dan Anggota Parlimen Teluk Intan sebelum ini.

Beliau berterima kasih dan mengucapkan tahniah kepada pengundi Teluk Intan kerana membuat pilihan yang bijak dan tepat serta menolak politik jahat, tipu helah dan kebencian.

Muhyiddin yang mengucapkan tahniah kepada Mah dan seluruh jentera BN berkata walaupun majoriti kecil dan memerlukan lebih banyak kerja dan usaha berterusan, beliau percaya ia adalah detik kebangkitan parti Gerakan.

“Saya percaya Mah akan bekerja kuat dan mengambil berat terhadap kebajikan penduduk Teluk Intan. Selain daripada berpengalaman, berdedikasi dan komited, beliau juga merupakan seorang penduduk Teluk Intan yang menjalinkan hubungan erat dengan masyarakat tempatan,” katanya.

Muhyiddin berkata BN akan menunaikan semua janji yang telah dibuat dan Mah akan membawa arus pembangunan, kemajuan dan kemakmuran kepada negeri Perak dan Teluk Intan.

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan