Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,737

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Naik Taraf Jalan Ansip-Dalit-Kahaba Manfaatkan 5,000 Penduduk

7:08pm 02/02/2016 Pak Roshan 86 views Keningau,Mutakhir,Tempatan

image

KENINGAU : Projek naik taraf Jalan Ansip-Dalit-Kahaba sepanjang 44 kilometer sebagai jalan berturap dengan kos kira-kira RM197 juta akan memberi manfaat kepada lebih 5,000 penduduk daripada 11 buah kampung di kawasan Mukim Dalit, Keningau.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata projek yang turut melibatkan pembinaan empat buah jambatan dimulakan sejak 21 Sept lalu dan dijangka siap sepenuhnya pada 20 Sept 2017.

“Justeru, projek ini akan turut memberi manfaat kepada pengusaha kecil dan besar seperti Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) dan Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (SLDB).

“Sebanyak 100,000 ekar (40,468 hektar) tanah telah diusahakan bagi tanaman getah serta kelapa sawit dan jalan raya ini merupakan akses kepada Mini Estet Sejahatera (Mesej) Lumiri,” katanya.

Ismail Sabri berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis pecah tanah projek naik taraf jalan berkenaan di Kampung Ansip dekat sini hari ini.

Turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga anggota Parlimen Pensiangan Tan Sri Joseph Kurup dan Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga anggota Parlimen Keningau Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Menurut Ismail Sabri selain memberi manfaat kepada penduduk, khususnya petani untuk memasarkan hasil pertanian mereka, projek itu juga akan memudahkan penduduk untuk menggunakan perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan seperti klinik, balai raya serta kemudahan rumah-rumah ibadat.

Katanya apabila projek berkenaan siap, aktiviti ekonomi di kawasan sekitarnya akan lebih berkembang maju dan beliau sendiri akan memantau projek berkenaan bagi memastikan ia dapat disiapkan mengikut jadual seperti ditetapkan.

Pada majlis berkenaan, Ismail Sabri turut mengumumkan beberapa projek yang telah diluluskan oleh kementeriannya untuk dilaksanakan di kawasan Parlimen Pensiangan dan Parlimen Keningau termasuk projek Jalan Communication 1 bernilai RM6 juta.

Menurut Ismail Sabri, kementeriannya telah meluluskan peruntukan berjumlah RM8.5 juta untuk projek bekalan air retikulasi Zon 5 Keningau, RM35 juta untuk projek bekalan air Fasa 1, 2 dan 3 ke Mesej Kg Bunang, Sook dan RM45 juta lagi bagi projek bekalan air kawasan Apin-Apin.

Bagi projek pembinaan 33 buah rumah di bawah Program Bantuan Rumah di kawasan Keningau, Ismail Sabri berkata walaupun kementeriannya sudah meluluskan peruntukkan untuk tujuan itu namun lokasi pembinaan rumah-rumah berkenaan akan ditentukan kemudian.

Sementara itu beliau berkata di bawah kementeriannya, pihaknya bukan sahaja menumpukan perhatian kepada pembinaan prasarana tetapi turut memberi penekanan kepada program meningkatkan taraf ekonomi masyarakat luar bandar serta membasmi kemiskinan.

Katannya di bawah program Transformasi Luar Bandar yang diumumkannya baru-baru ini, penduduk luar bandar akan diberi kursus-kursus kemahiran tertentu serta diberi geran berupa peralatan untuk memulakan perniagaan mereka selain tawaran pinjaman sehingga RM250,000 untuk mengembangkan perniagaan.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan