Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,702

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

MyKad Palsu: MPSS Puji Usaha Berterusan JPN, PDRM

12:45pm 21/05/2016 Pak Roshan 2757 views Kota Kinabalu,Mutakhir,Tempatan

zaki

KOTA KINABALU : Majlis Permuafakatan Suluk Sabah (MPSS) memuji usaha berterusan pihak berkuasa, khususnya Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), membanteras kegiatan pengeluaran serta penggunaan dokumen pengenalan diri palsu di negara ini.

Selain menyifatkan usaha itu sebagai sangat wajar, Setiausaha MPSS Mohd Zaki Harry Susanto turut meminta agar media dan masyarakat tidak bersifat prejudis dengan melabelkan atau mengaitkan tangkapan individu dari Filipina dengan kaum atau etnik Suluk tempatan Sabah.

“Saya berpendapat bahawa isu ini adalah isu nasional. Jika tidak ditangani dengan baik, ia akan memburukkan lagi nama baik etnik Suluk di Sabah kerana tangkapan yang dibuat sering dilabelkan sebagai Suluk.

“Oleh itu perlu ada satu mekanisme untuk membezakan antara mereka yang menggelar diri sebagai ‘Tausug’ dengan yang berketurunan Suluk di Sabah. Kami (Suluk tempatan Sabah) adalah dua entiti yang berbeza kerana Suluk di negara ini bukanlah Sulu,” katanya kepada Bernama di sini, Sabtu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas penahanan 11 warga asing kerana disyaki menggunakan kad pengenalan palsu dan tujuh lagi kerana menggunakan kad pengenalan milik orang lain, di Johor semalam.

Kesemua yang ditahan mengaku berasal dari Sandakan, Sabah dan mendakwa membeli kad pengenalan yang digunakan daripada ejen di daerah berkenaan dengan harga daripada RM300 hingga RM2,500.

Sementara itu, Mohd Zaki berkata pihaknya berharap agar dasar mobilisasi pegawai yang bertugas di semua Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) dikaji semula bagi memastikan pegawai berkenaan tidak terdedah kepada elemen penyalahgunaan kuasa apabila bertugas dalam tempoh yang lama.

“Selain itu kita juga berharap supaya pintu-pintu keluar masuk utama di Sabah dapat diperkasakan kawalannya kerana adalah menghairankan bagaimana mereka yang menggunakan MyKad palsu boleh lolos pemeriksaan Imigresen sebelum meninggalkan Sabah untuk ke destinasi lain.

“Siasatan terperinci dan komprehensif perlu dibuat agar masalah itu boleh diselesaikan secara tuntas. Ia penting demi menjaga kewibawaan dan kedaulatan negara,” katanya.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan