Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Muzium Sabah miliki sejuta koleksi bahan sejarah

Musa (tengah) memukul sebagai tanda perasmian acara Jubli Emas Muzium Sabah. - foto ihsan JKM
Musa (tengah) memukul sebagai tanda perasmian acara Jubli Emas Muzium Sabah. – foto ihsan JKM

KOTA KINABALU – Bermula dengan koleksi sebanyak 14,500 bahan budaya masyarakat tempatan yang diwasiatkan oleh Pegawai Syarikat Berpiagam Borneo Utara, G.C.I Wolly, kini Muzium Sabah mempunyai sebanyak lebih sejuta bahan.

Kebanyakannya diperolehi secara pembelian daripada masyarakat tempatan, tetapi banyak juga didermakan seperti koleksi Robert Knowles, Lengraf selain daripada koleks persendirian masyarakat tempatan.

Bagi Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Masidi Manjun, kerajaan negeri bersyukur kerana institusi tempatan seperti universiti juga banyak membantu Muzium Sabah menjalankan kajian secara meluas.

“Tapak pra sejarah yang ditemui kini kita bangunkan menjadi produk pelancongan. Saya difahamkan bahawa ketika Muzium Sabah masih di rumah kedai di Jalan Gaya, pengunjung ke Muzium hanya 4,800 orang setahun.

“Kini bilangan pelawat mencapai 40,000 orang sebulan. Daripada jumlah itu, satu pertiga adalah pelancong. Satu nisbah yang masih rendah berbanding kedatangan pelancong ke Sabah secara keseluruhan,” katanya ketika berucap sempena sambutan Jubli Emas Muzium Sabah yang dirasmikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman, di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan; Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Kamarlin Ombi; Menteri Tugas-Tugas, Datuk Teo Chee Kang dan Pengarah Muzium Sabah, Joanna Kitingan.

Sehubungan itu, Masidi menyarankan pihak berkaian meningkatkan usaha mempromosi Muzium Sabah kepada pelancong.

Untuk itu, beliau menggesa perkhidmatan yang disediakan hendaklah setaraf atau melebihi daripada perkhidmatan agensi lain yang berteraskan budaya dan sejarah memandangkan muzium mempunyai banyak aset bernilai untuk sajian pengalaman unik seperti rumah tradisi dan Taman Etnobotani.

Kata beliau, visi untuk menjadikan muzium unggul di rantau ini dengan perkhidmatan bertaraf dunia perlu benar-benar dijiwai dan direalisasikan dan bukan sekadar hanya cantik dalam kertas sahaja.

Menurut Masidi, selaku menteri bertanggungjawab terhadap hal ehwal kebudayaan, pihaknya berbangga dengan pencapaian pembangunan muzium di Sabah walaupun masih banyak yang perlu dilakukan.

Jelasnya, kementeriannya sentiasa menyokong pembangunan rangkaian muzium di seluruh Sabah termasuk keperluan pembinaan muzium di Tawau, Ranau, Sipitang atau Beaufort, Tambunan dan Tongod, agar dapat mendekatkan lagi perkhidmatan muzium kepada masyarakat. – oleh Sitti Nor Azizah Talata / SayangSabah

Komen


Berita Berkaitan