Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Musa dikejarkan ke IJN

BEKAS Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman hadir di ibu pejabat SPRM pagi ini bagi memberi keterangan berhubung dakwaan rasuah pada PRU-14 lalu. – NSTP/Malai Rosmah Tuah

 

PUTRAJAYA: Bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman terpaksa meninggalkan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) lebih awal petang tadi kerana masalah kesihatan.

Sumber berkata, Musa gagal meneruskan sesi soal siasat bersama SPRM sebelum dibawa ke Hospital Putrajaya bagi mendapatkan rawatan.

Bagaimanapun, katanya, kira-kira jam 6.30 petang, beliau (Musa) terpaksa dikejarkan ke Institut Jantung Negara (IJN) kerana mengalami sesak nafas.

“Pasukan siasatan SPRM belum menyelesaikan sesi ambil keterangan daripada Musa kerana masalah kesihatan berkenaan,” katanya.

Kira-kira jam 2.10 petang tadi, Musa dilihat meninggalkan Ibu Pejabat SPRM selepas lebih dua jam memberi keterangan kepada SPRM.

Beliau meninggalkan Ibu Pejabat SPRM dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah jenis Toyota Vellfire berwarna kelabu menggunakan nombor pendaftaran WRJ65.

Turut mengiringi beliau termasuk sebuah kenderaan jenis sama dipercayai peguamnya.

Jumaat lalu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki memaklumkan pihaknya tidak tergesa-gesa untuk mengambil keterangan bekas Ketua Menteri Sabah itu berhubung dakwaan rasuah pada PRU-14.

Menurut Azam, pihaknya membenarkan Musa mendapat rawatan dan sihat terlebih dulu sebelum membuat keputusan lanjut.

Musa yang juga bekas Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, pada 26 Jun lalu mengesahkan beliau berada di United Kingdom atas urusan perubatan dan peribadi serta meninggalkan Malaysia secara sah pada 16 Mei lalu untuk rawatan perubatan di London.

Beliau pulang ke tanah air pada 21 Ogos lalu dari Seletar, Singapura sebelum mendapat rawatan di sebuah hospital swasta di Subang Jaya.

Selepas meninggalkan Sabah kira-kira empat bulan, Musa tiba di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) menaiki pesawat khas pada jam 12.30 tengah hari kelmarin.

Musa kemudian selesai mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di hadapan Speaker, Datuk Syed Abas Syed Ali pada jam 3.30 petang hari yang sama.

Musa tiba di perkarangan bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada jam 1.20 tengah hari sebelum ke pejabat Syed Abas pada jam 2.12 petang bagi proses mengangkat sumpah.

Beliau adalah wakil rakyat terakhir mengangkat sumpah sebagai ADUN di Sabah selepas tidak hadir dalam tiga persidangan DUN yang diadakan sebelum ini sejak 11 Jun lalu. – BH Online

Komen


Berita Berkaitan