Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

12,501

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Musa Ambil Langkah Berani Tingkat Bola Sepak Sabah – Tawfiq

Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan

KOTA KINABALU : Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman mengambil langkah berani dalam mendapatkan jurulatih berkualiti untuk meningkatkan mutu bola sepak di negeri ini.

Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan berkata Musa yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), serius dalam mencari penyelesaian terbaik dalam semua isu pembangunan dalam negeri, termasuk sukan.

“Seperti diketahui, skuad bola sepak Sabah gagal menyerlah. Namun kerajaan negeri terutama ketua menteri, enggan berputus asa terhadap sukan itu, yang juga sukan paling popular di dunia.

“Jadi, kita tidak mampu mengetepikan bola sepak. Oleh itu, kita memerlukan resipi terbaik untuk berjaya dengan memiliki barisan pemain yang bagus, jurulatih dan persatuan yang baik serta sokongan penyokong,” katanya.

Tawfiq berkata demikian selepas merasmikan Simposium Jurulatih Malaysia Timur di sini yang dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan Sabah, Majlis Sukan Sabah dan Institut Sukan Negara.

Ahad lepas, Musa mengumumkan pelantikan beberapa bekas pemain negeri sebagai ketua jurulatih skuad Liga Perdana, Piala Presiden dan Piala Belia, berkuat kuasa serta-merta.

Selepas permulaan hambar dalam tujuh aksi Liga Perdana musim ini, SAFA menamatkan kontrak ketua jurulatih dari Perancis, Steve Vilmaire dan pengurus pasukan, Adlane Messelem, dan tempat mereka masing-masing digantikan Jelius Ating dan Datuk Juil Nuatim.

Tawfiq, yang juga Timbalan Presiden SAFA, menjelaskan penamatan perkhidmatan Vilmaire dan Messelem dilakukan secara bersama dan jurulatih itu menerima keputusan persatuan tersebut.

“Mereka (Vilmaire dan Messelem) juga menjelaskan sudah melakukan yang terbaik untuk meningkatkan mutu pasukan itu tetapi gagal memenuhi jangkaan,” katanya.

Terdahulu, Tawfiq memberitahu 120 peserta simposium itu bahawa jurulatih memainkan peranan utama dalam pembangunan sukan negara dan mereka harus melengkapkan diri dengan pengetahuan sains sukan.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan