Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Musa Aman tidak pertahan jawatan ketua bahagian

SANDAKAN: Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman yang dikehendaki bagi membantu siasatan berhubung laporan polis oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, berkaitan ugutan jenayah, tidak akan mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian Libaran, pada pemilihan parti Sabtu ini.

Setiausaha UMNO Bahagian Libaran, Ahmad Hassan, ketika mengesahkan perkara itu, berkata Musa yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga tidak akan bertanding dengan alasan bagi menyelesaikan kes mahkamah.

“Beliau (Musa) sudah mengesahkan tidak akan bertanding bagi jawatan Ketua Bahagian. Beliau mahu selesaikan kes di mahkamah dahulu,” katanya ketika dihubungi NSTP di sini.

Ahmad, bagaimanapun, tidak menjelaskan mengenai kes di mahkamah yang dikatakan mahu diselesaikan oleh Musa.

Bagi jawatan ketua bahagian pada pemilihan kali ini, Timbalan Ketua UMNO Libaran, Datuk Juslie Ajirol, akan berdepan Datuk Akhbar Khan Abdul Rahman yang juga bekas Ahli Parlimen Libaran pada 1995 hingga 1999 dan pernah memegang jawatan Ketua Pemuda UMNO Libaran.

Musa dan Juslie masing-masing memegang jawatan sebagai Ketua Bahagian dan Timbalan Ketua Bahagian sejak tahun 1993.

Baru-baru ini, Musa menerusi kenyataan yang diedarkan melalui pegawai perhubungan beliau mengesahkan berada di United Kingdom mendapatkan rawatan perubatan, selain atas alasan peribadi dan mendakwa keluar secara sah dari negara ini pada 16 Mei lalu.

Bulan lalu, Musa memfailkan saman terhadap Juhar dan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa beliau kekal sebagai Ketua Menteri yang sah mengikut peruntukan undang-undang.

Saman berkenaan juga mendakwa bahawa pengakuan sumpah Mohd Shafie sebagai Ketua Menteri oleh Yang di-Pertua Negeri adalah tidak berperlembagaan dan tidak sah.

Sementara itu, Juslie ketika dihubungi berkata, Musa menerusi ‘orang’ terdekat mengesahkan tidak bertanding dalam pemilihan bagi menyelesaikan beberapa perkara dan tidak dapat memberi tumpuan ke atas mesyuarat bahagian.

“Biarpun tidak bertanding, beliau (Musa) masih lagi dalam UMNO dan sentiasa memberi sokongan kepada kita,” katanya. –¬†Oleh Poliana Ronnie Sidom/BH Online

Komen


Berita Berkaitan