Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Musa Aman menghilang lebih sebulan

 

 

KOTA KINABALU: Selepas 36 hari, bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman yang diarahkan tampil membantu siasatan polis bagi kes ugutan jenayah, masih gagal dikesan.

Beliau diminta tampil memberi keterangan di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Polis Sabah selepas satu laporan polis dibuat terhadapnya pada 19 Mei lalu membabitkan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

Walaupun gagal dikesan, bekas pengerusi badan perhubungan UMNO Sabah itu masih mengeluarkan kenyataan media berhubung pelbagai isu menerusi barisan peguam yang mewakilinya.

Kehilangannya menjadi perhatian umum apabila beliau dilaporkan gagal dikesan selepas kali terakhir dilihat berlepas ke Kuala Lumpur dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada 14 Mei lalu.

Penerbangan beliau ke ibu negara itu dikatakan untuk menemui dan menghadiri mesyuarat yang dipengerusikan pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, sebelum hilang tanpa jejak.

Pelbagai usaha dilakukan pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menjejakinya, namun masih gagal walaupun ada pihak yang mendakwa beliau kini berada di luar negara antaranya di London.

Lebih menjadi misteri apabila Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sendiri mengeluarkan kenyataan bahawa agensi berkenaan tidak mempunyai rekod pergerakan ke luar negara membabitkan Musa.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din ketika dihubungi hari ini, mengesahkan belum ada sebarang perkembangan berhubung kes bekas ketua menteri itu.

“Apabila ada perkembangan lanjut berhubung kes itu nanti, saya akan maklumkan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sebelum ini, peguam Musa, Zahir Shah mengeluarkan kenyataan bahawa bekas ketua menteri Sabah itu sedang mendapatkan rawatan perubatan dan menafikan perjalanannya ke luar negara adalah secara tidak sah.

Bagaimanapun, kenyataan itu tidak menyatakan lokasi beliau mendapatkan rawatan dan mendakwa Musa dinasihatkan doktor peribadinya untuk mendapatkan rawatan bagi penyakit yang lama dihidapinya.

Selain itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun sebelum ini turut mengeluarkan kenyataan Musa mungkin menggunakan Brunei sebagai transit sebelum meninggalkan negara ketika namanya disenaraihitamkan oleh Jabatan Imigresen.

Katanya, walaupun JIM tidak mempunyai rekod Musa meninggalkan negara, polis percaya beliau keluar negara dengan cara sedemikian. – Bh ONLINE

Komen


Berita Berkaitan