Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

MUSA AMAN ANGKAT SUMPAH SEBAGAI ADUN SUNGAI SIBUGA, NAFI MELARIKAN DIRI DARI PIHAK BERKUASA

Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman yang kini secara rasmi ADUN Sungai Sibuga dilihat meninggalkan banggunan DUN Sabah selepas mengangkat sumpah. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman hari ini mengangkat sumpah selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga, sekaligus menamatkan spekulasi mengenai status beliau sebagai wakil rakyat di kawasan itu.

Musa menuju terus ke Bangunan Dewan Undangan Negeri Sabah sebaik tiba di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada jam 12.20 tengah hari.

Beliau yang diiringi oleh beberapa wakil rakyat dari Umno Sabah, Star dan PBS terpaksa menunggu hampir dua jam sebelum Speaker Datuk Syed Abas Syed Ali tiba pada 2.45 petang.

Musa (duduk hadapan kiri) bersama wakil rakyat kerajaan sebelum ini menanti upacara angkat sumpah dijalankan. Gambar SNT/ Sosial Media

Majlis angkat sumpah tersebut selesai pada pukul 3.30 petang ini di hadapan Speaker.

Bagaimanapun, jurufoto media tidak dibenarkan mengambil gambar upacara itu.

Dalam sidang media yang penuh sesak selepas majlis itu, Musa memberitahu, beliau bukan seorang pelarian seperti digembar-gemburkan oleh sesetengah pihak dalam media sosial, sebaliknya berada di luar negara atas sebab-sebab kesihatan serta rawatan rapi yang diperlukan.

Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman yang kini secara rasmi ADUN Sungai Sibuga mengadakan sidang media selepas mengangkat sumpah. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Perlu saya tekankan bahawa saya bukanlah seorang pelarian dan tidak sesekali pernah terniat didalam hati untuk lari daripada pihak berkuasa Malaysia. Ini dibuktikan dengan laporan kesihatan daripada para doktor yang merawat saya.”

Membaca kenyataan yang tersedia, Musa berkata, beliau kembali ke Sabah demi menunaikan tugas dan tanggungjawab sebagai wakil rakyat disebalik keadaan kesihatan dan nasihat doktor yang merawatnya.

“Saya merakamkan ucapan terima kasih kepada Speaker DUN yang memahami keadaan kesihatan saya serta telah memberikan persetujuan untuk saya datang menghadap bagi membolehkan saya memenuhi tanggungjawab selaku Ahli Dewan Undangan Negeri,” katanya.

Hadir sama dalam sidang media itu ialah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Hajiji Noor; Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star) Datuk Dr. Jeffrey Kitingan dan Setiausaha Agung Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Johnny Mositun.

Menurut Musa lagi, beliau telah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa di Kuala Lumpur dan tetap memberikan kerjasama tersebut selagi diperlukan.

Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman yang kini secara rasmi ADUN Sungai Sibuga dilihat turun selepas mengangkat sumpah. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Saya adalah anak pribumi negeri Sabah yang selama ini telah memberikan khidmat bakti terhadap kawasan DUN yang saya wakili serta negeri Sabah yang saya cintai. Perjuangan dan khidmat kepada rakyat serta negeri ini akan tetap diteruskan dengan sedaya upaya saya,” ujarnya.

Dalam pada itu, Musa turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak, khususnya penyokong beliau atas sokongan padu serta doa diberikan selama ini. – SabahNewsToday

Komen


Berita Berkaitan