Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,789

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Mukaddimah – Menaiki Bahtera Kekuatan

3:25pm 29/12/2015 Zakir Sayang Sabah 20 views i-Muslim
Gambar Hiasan

Gambar Hiasan

“Ya Bunayya, Irkam Ma’ana.” Bermaksud: “Wahai anakku, naiklah bersama kami.”

Itulah bicara Nuh kepada anaknya. Saat banjir kilat lagi besar berlaku sebagai hukuman kepada kaumnya. Anaknya terkapai-kapai ditenggelami air, sedang Nabi Nuh dan mereka yang beriman dengannya sudah selamat di atas bahtera.

Tetapi Sang Anak yang kufur kepada Allah, menolak pelawaan ayahandanya. Bahkan dalam keadaan terkapai-kapai itu masih bongkak lantas berkata:

“Aku akan pergi ke gunung-gunung yang tinggi untuk menyelamatkan diri.”

Nabi Nuh sayu berkata: “Hari ini tidak akan ada yang mampu menyelamatkan melainkan Dia.”

Dan lemaslah anak, apabila banjir itu menenggelamkan hatta gunung-ganang.

Semestinya, di LangitIlahi, saya tidak boleh menyatakan ‘ya bunayya’, kerana saya amat yakin di LangitIlahi terdapat pelbagai lapisan umur yang sedang membacanya. Ada taraf Ayah, ada taraf Ibu, ada taraf senior, ada taraf rakan seangkatan, ada taraf adik-adik, dan insyaAllah, ada juga taraf anak-anak. Tetapi saya amat yakin, saya masih boleh menyatakan:

“Irkam Ma’ana”, naiklah bersama-sama kami.

Ke mana? Persoalan muncul di dalam hati kalian.

Saya menjawab: “Menjadi Hamba Ilahi Sejati.”

Itulah bahtera kekuatan, yang akan membantu kita melalui kehidupan ini dengan keselamatan.

 

******

 

Peganglah kunci Bahtera

Semestinya, kita perlukan kunci untuk membuka pintu bahtera ini. Dan itulah dia dengan beriman kepada Allah SWT dan RasulNya. Kita naik saksi bahawa Allah adalah Ilah(Tuhan) dan Rabb(Pentadbir) seluruh kehidupan kita, dan kita juga naik saksi dengan kyakinan tiada giyahnya bahawa Muhammad itu Rasul kepada Allah tadi.

Dengan kunci inilah kita membuka bahtera kekuatan, menaikinya, dan melayari kehidupan ini dengannya.

Di dalam bahtera ini

Di dalam bahtera ini ada ketenangan, ada kebahagiaan, ada kelapangan. Semuanya bergabung menjadi satu makna yang mampu kita ungkap di dalam satu perkataan – Kekuatan.

Saat badai menerjah, bahtera ini menjaga kita dan meyakinkan bahawa segala-galanya akan selamat, dan apa yang berlaku kepada kita adalah yang baik-baik sahaja. Walaupun pada awalnya kelihatan seperti sebaliknya.

Saat kelemahan menyelimuti diri, keresahan mengikat hati, bahtera ini memberikan hati kita motivasi, lantas menjadikan kita kondusif menjalani kehidupan.

Saat kita ketakutan dan merasa ingin berputus asa, bahtera ini memberikan semangat, menghilangkan segala keraguan lantas membuatkan kita berdiri tanpa gentar.

Di dalam bahtera ini ada kekuatan, untuk kita melayari kehidupan dengan penuh tabah dan gagah. Tiada musuh mampu menggentarkan kita. Tiada badai mampu menenggelamkan kita, tiada taufan yang mampu merobohkan kita.

Kita selamat di dalam bahtera ini, dengan keselamatan yang nyata.

 

Bahtera ini berjalan dan bukannya statik

Bahtera ini bergerak, seiring bergeraknya kehidupan kita.

Sebab itu kita tidak sekadar memegang kunci bahtera dan melaung-laung bahawa kita adalah ahlinya. Tidak dan tidak. Bahkan, kita menakhodanya. Bahkan, kita menunjukkan kepada orang pula betapa baik dan indahnya bahtera ini. Bahkan, kita memanggil lebih ramai orang lagi untuk menaiki bahtera kekuatan ini.

Tidak sekadar mengaku sebagai ahli bahtera, kita juga menunjukkan syakhsiah ahli bahtera ini. Lantas akhlak kita diarah untuk dijaga. Lantas tutur kata kita turut digesa periksa.

Ahli bahtera bukan pengotor. Sedangkan dia adalah seorang yang pembersih.

Ahli bahtera bukan pembazir. Sedangkan dia adalah seorang yang berjimat cermat dan hanya membelanjakan pada sesuatu yang perlu.

Ahli bahtera bukan yang berakhlak buruk. Sedangkan dia adalah yang mempunyai peribadi yang bersih.

Ahli bahtera bukan pembohong. Sedangkan dia adalah seorang yang jujur.

Ahli bahtera bukan culas. Sedangkan dia adalah seorang yang rajin.

Syakhsiah diiringi fikrah. Bukan semata-mata fikrah yang dicanangkan. Tetapi syakhsiah yang dipraktiskan di dalam kehidupan yang sebenar, itu adalah apa yang benar-benar membuatkan ahli bahtera ini kuat dan terselamat.

 

Menuju Destinasi Yang Selamat

Menjaga sepanjang perjalanan, bererti perjalanan ini mempunyai penamatnya, di kala mana penjagaan ini tidak lagi diperlukan. Ya. Bahtera ini akan membawa kita ke satu destinasi yang selamat. Destinasi di mana tidak perlu lagi bahtera ini melindungi kita.

Itulah dia syurga Allah SWT. Ke sana kita berlayar dengan bahtera ini sebenarnya.

Dengan kekuatan yang bahtera ini serapkan ke dalam kita, membuatkan kita tabah menjalani kehidupan, pancarobanya, ujian dan dugaannya, kesusahan dan kesukarannya, hingga akhirnya kita sampai ke SyurgaNya. Berjayalah kita.

Persoalan, siapakah yang mencari, dan menaiki pula bahtera ini?

Atau rata-rata tidak menyahut seruan agar sama-sama menjejaki bahtera kekuatan ini?

 

Penutup: Sama ada kamu adalah Nuh dan orang-orangnya, atau sekadar menjadi anak kepada dia.

Sungguh kisah Nuh dan anaknya memberikan kesan. Sedang huluran tangan telah diberikan. Namun keangkuhan kerana merasa diri ada tempat yang selamat selain bahtera, membuatkan diri si anak terkorban.

Sungguh, Allah mengkehendaki apa?

Kalau di zaman Nuh saat banjir itu, Allah mengkehendaki yang beriman kepadaNya menaiki bahtera. Jika tidak, akan hancur ditelan banjir.

Apakah pengajarannya?

Allah mahu kita tunduk kepada Dia sekarang. Menjadikan kehidupan ini sebagai ibadah. Menjauhi laranganNya dan melaksanakan perintahNya. Tetapi apakah yang kita lakukan? Adakah kita menyahutNya? Atau kita berkata kepada Allah sebagaimana anak Nuh berkata kepada Nuh:

“Aku ingin berenang ke gunung yang tinggi. Di sana aku akan selamat.”

Gunung manakah yang lebih tinggi daripada Allah SWT?

Di ceruk dunia manakah yang mampu menyelamatkan kita daripada gapaian Allah SWT?

Tidakkah kita memerhatikan?

Sungguh, bahtera kekuatan sudah terpampang di hadapan mata. Bersedia untuk anda menjadi salah seorang penumpangnya. Tetapi apakah anda bergerak ke arahnya? Atau membiarkan bahtera kekuatan itu berlayar begitu sahaja?

(Sumber: LangitIlah.com, oleh Hilal Asyraf)

 

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan