Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,823

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Muhyiddin Sah Presiden Parti Baharu Ciptaan Mahathir

6:33pm 04/08/2016 Pak Roshan 3371 views Mutakhir,Politik

muhyiddin

KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin sah presiden parti politik baharu ‘dicipta’ Tun Mahathir Mohamad dan akan mendaftar parti itu secara rasmi dengan Pendaftar Pertubuhan (RoS) 5 Ogos.

“Kami buat mesyuarat pertama dipengerusikan Mahathir. Muhyiddin sebagai presiden akan serah permohonan kepada RoS esok,” kata mantan pemimpin Wanita UMNO, Anina Saadudin kepada portal Malay Mail Online.

Berita itu sekali gus mengesahkan Muhyiddin menjadi proksi Mahathir yang secara rasmi tidak mengetuai parti tersebut, malah anaknya sendiri iaitu bekas menteri besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz juga tidak mengetuainya.

Anina turut hadir mesyuarat yang dihadiri Muhyiddin dan Mukhriz selain Presiden Gabungan Ketua Cawangan UMNO Malaysia, Kamarul Azman dan ketua kumpulan pelajar Challenger, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Beliau menambah, anggota jawatankuasa parti baharu itu ialah Mahathir, Muhyiddin, beliau sendiri, Kamarul, Syed Saddiq dan Akhramsyah Muammar Ubaidah iaitu anak bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Sanusi Junid.

Muhyiddin dalam pada itu turut mengesahkan mengenai perkara tersebut melaluiposting dalam akaun laman Facebook peribadi miliknya pada pagi 4 Ogos dan mengakui satu mesyuarat telah diadakan pada lewat 3 Ogos.

muhyiddin1-768x576

“Saya akan menyerahkan permohonan kepada RoS dan mendaftarkan parti politik baharu ini dalam masa terdekat ini,” katanya yang menyertakan beberapa gambar mesyuarat tersebut di kediaman Mahathir dekat ibu negara.

Perkembangan terkini itu jelas menunjukkan bekas Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri itu tidak menepati pendirian politiknya selama ini yang menegaskan bahawa dirinya setia sebagai ahli UMNO totok.

Mahathir baru-baru ini mengesahkan bahawa beliau hanya akan menjadi anggota perintis parti politik baharu ciptaanya itu yang akan bersekutu dengan pembangkang iaitu Pakatan Harapan yang disertai DAP, PKR dan PAN.

Ia memastikan situasi satu lawan satu bertemu Barisan Nasional pada pilihan raya umum ke-14 dengan merujuk pembangkang bertanding sesama mereka semasa pilihan raya Sarawak dan dua pilihan raya kecil baru-baru ini.

Namun, Bernama melaporkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Dalam Negeri berkata setakat ini RoS masih belum menerima sebarang permohonan pendaftaran parti politik itu.

Menerusi catatan laman Twitter beliau, Naib Presiden UMNO itu turut memberi jaminan bahawa RoS bersedia meluluskan pendaftaran parti baharu itu jika memenuhi segala syarat ditetapkan. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan