Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Muhyiddin Bersyukur Usaha Bawa Balik Mayat Penumpang, Anak Kapal MH17 Berhasil

muhyiddin

KUALA LANGAT– Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bersyukur apabila usaha membawa pulang jasad penumpang dan anak kapal pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang terhempas di Ukraine membuahkan hasil.

Beliau berkata inisiatif Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang telah mencapai persetujuan dengan Alexander Borodai, individu yang berkuasa di wilayah pesawat itu terhempas pada Khamis lepas jelas memberi khabar gembira kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Kita bersyukur atas inisiatif dan usaha Perdana Menteri yang secara peribadi berhubung dengan Alexander Borodai. Hasrat kita untuk bawa balik jenazah penumpang dan anak kapal nampaknya sudah menampakkan hasil.

“Yang penting Malaysia nak lihat mayat dibawa (balik) sini, diselesai, diuruskan dan disempurnakan mengikut adat kaum masing-masing,” katanya ketika berucap pada Program Ihya Ramadan anjuran badan sukarelawan, iM4U di Masjid Ar-Rahman, Kampung Sungai Manggis, Banting di sini hari ini.

Awal hari ini, Najib dalam sidang akhbar di Seri Perdana, Putrajaya mengumumkan bahawa 282 mayat akan dipindahkan dengan kereta api dari Torez ke Kharkiv selepas beliau berjaya mengadakan rundingan dengan Alexander Borodai.

Pesawat MH17 yang membawa 298 penumpang dan anak kapal dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur terhempas di timur Ukraine berhampiran sempadan Rusia pada Khamis.

Dipercayai pesawat Boeing 777 itu telah ditembak jatuh tetapi sehingga hari ini tiada pihak tampil mengaku bertanggungjawab.

Timbalan Perdana Menteri berkata sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini juga pasti disambut secara bersederhana berikutan negara sedang bersedih dengan tragedi itu.

“Tahun ini kita semua rakyat Malaysia rasa cukup sedih dan hiba apabila sebelum ini negara dikejutkan dengan kehilangan pesawat MH370 dan sekarang tragedi MH17,” katanya.

Pada 8 Mac lepas, pesawat MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal hilang daripada skrin radar ketika terbang merentasi Laut China Selatan semasa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Penerbangan pesawat itu dipercayai berakhir di selatan Lautan Hindi, di barat Perth, Australia dan operasi mencari diteruskan, namun sehingga kini belum berhasil.

Komen


Berita Berkaitan