Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Mufti Arab Saudi: Kumpulan militan musuh nombor satu Islam

mufti arab

RIYADH: Mufti Besar Arab Saudi, Sheikh Abdulaziz Al-Sheikh berkata ekstremisme dan ideologi kumpulan seperti pergerakan Negara Islam dan al-Qaeda adalah musuh nombor satu Islam yang menjadikan orang Islam sebagai mangsa mereka yang pertama.

Dalam kenyataannya, Sheikh Abdulaziz berkata keganasan tidak ada tempat dalam Islam dan bahayanya kumpulan ekstrem ialah apabila mereka mempergunakan slogan Islam sebagai alasan tindakan yang memecahbelah orang.

“Kumpulan asing ini bukan milik Islam dan orang Islam yang berpegang dengannya,”katanya.

Raja Abdullah dari Arab Saudi sering meminta ulama supaya mengecam dengan secara terbuka kumpulan Islam ekstrem sejak kerajaan melarang rakyatnya daripada menyertai konflik di luar negara. Ulama yang tidak mengecam keganasan dalam khuthbah Jumaat boleh dikenakan denda, seperti menarik balik lesen mereka untuk berceramah.

Media tempatan melaporkan Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi juga mensyaratkan ulama supaya lulus ujian keselamatan sebelum dibenarkan menyampaikan ceramah. Sejak 2003 kira-kira 3,500 ulama di Arab Saudi sudahpun dipecat kerana khutbah mereka.

Kemaraan pergerakan Negara Islam di Iraq dan Syria menyebabkan langkah keselamatan di negara jiran seperti Arab Saudi dipertingkatkan.

Mereka juga menggalakkan penulisan rencana dan perbincangan di dalam akhbar tempatan mengenai cara untuk menangani penyebaran ideologi ‘Takfiri’, yang menyisih mana-mana pihak yang tidak mengikuti interpetasi Islam dengan betul. Arab Saudi mengikuti fahaman Islam Wahhabi.

Kira-kira sedekad lalu, militan al-Qaeda melancarkan beberapa siri serangan di Arab Saudi bertujuan menjatuhkan pemerintahan beraja. Tindakan balas perkhidmatan keselamatan Arab Saudi menyebabkan ramai dalam kalangan militan berkenaan melarikan diri ke negara jiran, Yemen, yang kini mempunyai cawangan al-Qaeda paling aktif di dunia.

Dua hari lalu, sebuah mahkamah di sini menjatuhkan hukuman ke atas 31 orang kerana pembabitan mereka dalam serangan itu, menjatuhkan hukuman mati ke atas tiga orang manakala yang lain dipenjarakan. Semua mereka dibenarkan merayu kepada keputusan berkenaan.

Semalam, mahkamah menjatuhkan hukuman mati ke atas dua orang dan penjara ke atas 15 orang atas beberapa tuduhan membunuh, menembak pasukan keselamatan dan merancang untuk membunuh pegawai tertinggi. Mereka juga didapati bersalah melakukan serangan di kawasan perumahan di mana rakyat asing tinggal di Riyadh dan Wilayah Timur, lapor agnesi berita Arab Saudi. – AP

Komen


Berita Berkaitan