Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,646

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

MPT Sedia 10 Skrin Besar Pada Hari Pelancaran Bulan Kebangsaan Sabtu Ini

3:31pm 03/08/2016 Pak Roshan 364 views Jenayah,Tawau,Tempatan

tawau2

TAWAU : Majlis Perbandaran Tawau (MPT) akan menyediakan sebanyak 10 skrin besar di sekitar perkarangan bangunan MPT, di sini, sempena Hari Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang peringkat kebangsaan 2016 yang dijadual berlangsung pada Sabtu ini.

Presiden MPT Alijus Sipil berkata pemasangan skrin besar itu bertujuan memberi peluang kepada orang ramai yang hadir menyaksikan hari pelancaran itu secara langsung dalam suasana selesa tanpa perlu berasak-asak.

Kira-kira 20,000 orang dijangka menghadiri hari pelancaran itu, yang buat julung kalinya diadakan di Tawau, katanya kepada Bernama di sini Rabu.

Alijus berkata pihaknya akan bekerjasama dengan pihak polis bagi membantu mengawal aliran trafik dan memastikan trafik berjalan lancar.

Dalam pada itu, katanya, MPT juga meminta kerjasama daripada persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) di daerah itu untuk membantu membawa orang ramai masuk ke kawasan bandar menggunakan perkhidmatan bas.

Ini kerana, Alijus berkata, orang ramai terpaksa meletak kenderaan mereka jauh dari tempat pelancaran memandangkan kawasan meletak kereta adalah terhad.

“Jika ada perayaan atau sambutan diadakan di bandar, mereka (penduduk) tahu di mana tempat meletakkan kenderaan. Bagaimanapun, kami ada membuat permintaan kepada persatuan dan NGO, kalau boleh orang ramai dibawa menggunakan bas. Tetapi perkara itu sudah biasa dan kami serahkan kepada mereka,” katanya.

Sabah buat pertama kali dipilih menjadi tuan rumah hari pelancaran yang akan diadakan 6 Ogos ini dengan Tawau yang terletak kira-kira 555 kilometer dari Kota Kinabalu terpilih sebagai lokasi pelancaran.

Tema Hari Kebangsaan pada tahun ini masih mengekalkan tema digunakan tahun lepas iaitu #sehatisejiwa memandangkan tema tersebut mencerminkan kesepaduan, kesefahaman dan semangat kekitaan seluruh rakyat Malaysia.

— BERNAMA

tawau3

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan