Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,694

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

MPT Akan Roboh Tanpa Notis Kira-kira 40 Rumah Di Kampung Titingan

6:41pm 14/09/2016 Pak Roshan 2443 views Mutakhir,Tawau,Tempatan
tawau

Sumber Foto Unit IPD Tawau

TAWAU : Majlis Perbandaran Tawau (MPT) akan merobohkan tanpa notis kira-kira 40 rumah setinggan yang tidak berpenghuni atas sebab keselamatan di Kampung Titingan, di sini dalam masa terdekat ini.

Presidennya, Alijus Sipil berkata perkara itu merupakan atas permintaan penduduk kampung sendiri dan telah mendapat pengesahan daripada ketua kampung berkenaan.

“Dikhuatiri rumah yang ditinggalkan semasa operasi terdahulu yang dilaksanakan bersama Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) di kampung ini dimasuki orang tidak bertanggungjawab.

Kita sekarang dalam proses mendapatkan kerjasama Esscom sekali lagi…kita akan masuk lagi untuk merobohkan rumah-rumah yang ditinggalkan itu…penandaan rumah sudah dilakukan…rumah itu akan dirobohkan bila-bila masa, tanpa notis,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Hari Bertemu Pelanggan MPT di sini, Rabu.

Dalam perkembangan lain, Alijus berkata pihaknya telah mewujudkan satu ‘WhatsApp Aduan’ sejak hujung tahun lalu bagi memberi nilai tambah dalam meningkatkan mutu perkhidmatan MPT.

Katanya, menerusi aplikasi itu, ia akan memudahkan penduduk berurusan dan menyalurkan setiap aduan dengan pantas.

Menurutnya, aduan boleh dilakukan dengan memberikan nama dan alamat dan hantar ke nombor 0138866375, pada bila-bila masa.

“Aduan juga boleh disalurkan di laman sesawang MPT iaitu www.mpt.sabah.gov.my atau terus ke pejabat MPT,” katanya lagi.

Di samping itu, katanya MPT akan menjadikan program memberi insentif kepada pemegang akaun konsisten membayar cukai pintu sebagai program tahunan.

“Dengan program pemberian insentif ini membolehkan pembayar cukai yang ‘segan’ atau lambat membayar sebelum ini akan tertarik untuk membayar pada tarikh ditetapkan,” katanya lagi.

Setakat ini, pembayar cukai pintu (kediaman) di Tawau berjumlah 23,254 dan daripada jumlah itu 2,585 pembayar adalah konsisten membayar selama tiga tahun berturut-turut.

Sementara itu, Alijus turut menasihati orang ramai agar sentiasa menjaga kebersihan kawasan persekitaran bagi mengelakkan ancaman virus Zika menular ke daerah ini.

“Penyakit ini bukan tanggungjawab MPT semata-mata tetapi semua individu menjaga kebersihan dengan bermula dari rumah dan sekitarnya,” katanya lagi.

Beliau berkata pihaknya akan turut mengadakan program Gotong-Royong Perdana pada 1 Okt depan di sekitar kawasan bandar.

“Untuk Zika ini proses pembasmian bukan setakat kutip-kutip sampah tetapi kita akan tumpu bersihkan tempat penakungan air yang membolehkan nyamuk membiak seperti dalam tin-tin…dalam program itu kita akan masuk ke bangunan terbiar juga,” katanya lagi.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan