Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Mosti cadang guna produk Mousticide hapus nyamuk Aedes

mosti

MELAKA: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) bercadang menggunakan produk Mousticide dalam usaha membantu menghapuskan pembiakan nyamuk Aedes sekaligus menangani wabak denggi yang semakin menular di negara ini.

Timbalan Menterinya Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah berkata produk keluaran syarikat tempatan, EntoGenex Industries Sdn Bhd (EntoGenex) yang dibangunkan melalui geran Techno Fund Mosti berjumlah RM7 juta itu telah diuji keberkesanannya dan digunakan di Brazil dan Filipina.

“Mosti bercadang membeli produk ini tetapi perkara ini masih dalam perbincangan di peringkat kementerian,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan 95 lesen Portal “E-Learning Focus A” Bagi Murid Tahun 6 Sekolah Kebangsaan St Francis di sini, kelmarin.

Portal yang dibangunkan syarikat Creative Dreams International itu menyediakan lebih 350,000 soalan peperiksaan selaras dengan sukatan pelajaran Kementerian Pendidikan sebagai persediaan pelajar menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah.

Abu Bakar juga berkata Mousticide merupakan produk bebas kimia yang dibangunkan melalui kaedah bioteknologi serta selamat digunakan.

Beliau berkata produk yang dihasilkan melalui penyelidikan bersama penyarah Universiti Kebangsaan Malaysia itu mampu membunuh larva atau jentik-jentik sehingga 100 peratus tanpa memberi kesan kepada nyawa manusia, haiwan atau tumbuh-tumbuhan.

Katanya Mosti bercadang mengedarkan produk berkenaan kepada pihak berkuasa tempatan di seluruh negara bagi menghapuskan nyamuk Aedes.

Semalam, syarikat EntoGenex melancarkan dua produk Mousticide iaitu Mousticide RH dan WP sebagai pilihan kepada pengguna untuk menghapus nyamuk Aedes.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata suhu permukaan laut di Malaysia meningkat 0.5 darjah celsius atau lebih dalam tempoh tiga bulan sejak Mei lepas.

Abu Bakar bagaimanapun berkata Malaysia masih belum mengalami El Nino kerana fenomena tersebut hanya terjadi apabila pemanasan suhu permukaan laut berlaku dalam tempoh enam bulan berturut-turut.

Komen


Berita Berkaitan