Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,726

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Mositun: Jangan keluarkan kenyataan provokasi dan tidak sensitif

12:58pm 08/06/2016 Elezebeth Esther Onjining 178 views Politik,Tempatan
Mositun (kanan) menyampaikan sumbangan sistem audio kepada Pengerusi KUK, Gereja St. Dominic, Kampung Mandalipau, Felix Sumpongol.

Mositun (kanan) menyampaikan sumbangan sistem audio kepada Pengerusi KUK, Gereja St. Dominic, Kampung Mandalipau, Felix Sumpongol.

PAPAR- Ahli- ahli politik perlu menahankan diri daripada mengeluarkan kenyataan provokatif dan tidak sensitif sekiranya mereka ingin menyatupadukan rakyat di negara ini, kata Setiausaha Agung Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Johnny Mositun.

Menurut beliau, seorang pemimpin yang berkaliber akan mempertahankan pendirian beliau dalam sebarang perbalahan dengan fakta dan sebab yang munasabah dan bukan hanya melemparkan kata- kata provokasi dan tidak benar.

” Ia adalah membimbangkan melihat para pemimpin politik mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dengan prinsip- prinsip Rukunegara dan menyebabkan perlagaan antara satu komuniti dengan komuniti lain mengenai isu- isu kaum dan agama. Perkara ini perlu dihentikan sebelum keadaan menjadi tidak terkawal,”katanya dalam satu kenyataan akhbar selepas membuat

sumbangan peribadi peralatan sistem bunyi (PA System) kepada gereja di Kg. Molonsi dan Kg. Mandalipau, disini.

Beliau yang merupakan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) berkata beliau terganggu dengan kenyataan- kenyataan yang tidak sensitif oleh para pemimpin dari kedua- dua parti BN dan pembangkang berkenaan isu kaum dan agama semasa di kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar dan Sungai Besar.

“Mereka perlu mempertimbangkan kesan yang mungkin akan timbul berdasarkan kenyataan- kenyataan mereka terhadap orang ramai. Mereka perlu menahan diri, bertoleransi, dan menghormati perasaan rakyat negeri ini tanpa mengira kaum dan agama,”katanya.

Tambahnya, sekiranya perkara itu tidak dibendung, Malaysia akan semakin merosot dan mundur serta menjadi sebuah ‘negara gagal’.

Disamping itu, beliau berkata isu pembentangan Rang Undang- Undang Persendirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 dan disalah anggap oleh rakyat sebagai ‘Rang Undang- Undang Hudud’ kini menjadi isu hangat yang diperkatakan oleh rakyat negara ini.

“Masyarakat akan bercakap mengenai perkara itu, kerana ia bukan hanya soal agama tetapi juga isu perlembagaan. Ia akan memberi kesan kepada semua rakyat Malaysia, khususnya masyarakat Sabah, kerana kita adalah sebuah masyarakat di mana perkahwinan campur adalah biasa, dan hampir setiap keluarga mempunyai ahli-ahli keluarga yang berbeza agama, “katanya.

Katanya, ia adalah yang terbaik untuk membiarkan Parlimen menyelesaikan isu ini dengan cara yang terbaik demi kepentingan semua rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

“Bagi rakyat Sabah, saya yakin masyarakat seluruh negeri ini akan meneruskan tradisi mengekalkan hubungan baik dan persahabatan tanpa mengira kaum dan agama, yang sentiasa menjadi ciri masyarakat Sabah. Jangan sekali-kali kita mengabaikan tradisi ini. Kita perlu bersyukur kerana negara mempunyai kerajaan yang menjaga dan memastikan kita dapat mengamalkan dan menjalani tanggungjawab terhadap agama masing- masing,”katanya.

Sementara itu, Mositun berjanji akan berhubung dengan pihak berkuasa berkenaan pembinaan semula jambatan kayu di Kampung Maliyuon yang dihanyutkan hujan lebat, baru- baru ini.

Katanya, beliau dimaklumkan penduduk kampung bahawa kanak- kanak daripada lebih kurang 50 buah keluarga terpaksa melalui laluan hutan sepanjang tiga kilometer untuk sampai ke SK Kaiduan setelah jambatan tersebut rosak akibat hujan lebat.

“Untuk membina jambatan yang serupa, ia memerlukan sekurang- kurangnya RM 200,000. Saya akan berhubung dengan pihak bertanggungjawab agar dapat menyelesaikan perkara ini dengan segera,” katanya setelah membuat tinjauan ke kawasan tersebut.-SayangSabah

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan