Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Mohamad Salleh, Nurul Izzah Dan Saifuddin Gagal Capai Penyelesaian, Saman Dibicarakan

nurul izzah

KUALA LUMPUR– Saman difailkan Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail terhadap anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar dan setiausaha agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) Saifuddin Nasution berhubung pembelian lapan unit kondominium, akan menjalani perbicaraan penuh.

Ini berikutan kedua-dua pihak gagal menyelesaikan kes itu menerusi proses mediasi di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Vazeer Alam Mydin Meera.

Bagaimanapun, tarikh perbicaraan masih belum ditetapkan, tetapi mahkamah menetapkan 2 Sept bagi pengurusan kes.

Peguam yang mewakili Mohamad Salleh, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memberitahu pemberita, hari ini mahkamah mahu tahu sama ada penyelesaian dapat dicapai berhubung saman itu, bagaimanapun, katanya kedua-dua pihak gagal mencapai persetujuan.

Katanya terdapat dua pendekatan dicadangkan oleh defendan untuk penyelesaian tetapi tiada satupun daripada pendekatan itu diterima oleh plaintif.

“Kami (plaintif) telah memberikan cadangan balas terhadap pendekatan defendan, tetapi mereka (defendan) juga tidak mahu menerimanya (cadangan balas),” kata Muhammad Shafee.

Pada 24 Dis 2013, Mohamad Salleh, yang merupakan pengerusi eksekutif National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) dan syarikatnya memfailkan saman fitnah terhadap Nurul Izzah dan Saifuddin.

Dalam pernyataan tuntutannya, Mohamad Salleh berkata Nurul Izzah telah membuat kenyataan berhubung pendedahan oleh pengarah strategik PKR Mohd Rafizi Ramli yang mendakwa beliau (Mohamad Salleh) telah membeli lapan unit kondominium di KL Eco City dengan menggunakan dana awam diperuntukkan kepada NFCorp.

Kenyataan Nurul Izzah disiarkan oleh Malaysiakini TV pada 7 Mac 2012.

Mohamad Salleh juga mendakwa kenyataan anggota Parlimen itu membayangkan beliau dan keluarganya telah menyalahgunakan dana NFCorp untuk membeli kondominium itu bagi kegunaan peribadi dan bukan untuk syarikat.

Beliau mendakwa berikutan kenyataan itu, maruah dan kredibilitinya sebagai seorang berpendidikan tinggi, ahli perniagaan dan suami kepada bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil telah tercemar dan dikritik orang ramai.

Beliau memohon ganti rugi am, teladan dan teruk dan juga injunksi untuk menghalang para defendan daripada menerbitkan semula kenyataan itu.

Komen


Berita Berkaitan